ISU penyokong kasual yang menimbulkan kekecohan pada perlawanan Liga Malaysia baru-baru ini harus ditangani segera sebelum ia menjadi barah yang merosakkan imej sukan bola sepak negara.
Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan tidak terlalu bergantung pada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semata-mata.
Rizal berpendapat cara JDT menguruskan penyokong wajar dicontohi agar masalah ini dapat dibendung dengan efektif. — Agensi
Pemerhati sukan, Rizal Hashim berkata, penting untuk semua venue pertandingan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawal keselamatan secara keseluruhan.
Menurutnya, sekadar jatuh hukum kepada pasukan yang disokong tidak akan menyelesaikan masalah kerana sudah acap kali perlawanan liga diadakan dalam stadium kosong atau secara tertutup, atau pasukan dikenakan hukuman denda, namun masalah masih berulang.
"Sebenarnya kita boleh membahagikan kelompok penyokong kepada beberapa kategori. Pertama adalah mereka yang datang bersantai dan berhibur menyokong pasukan masing-masing.
"Mereka ini tidak menimbulkan masalah dan sekadar mahu menonton bola sepak. Kategori kedua, kelompok Ultras yang juga penyokong tegar dan menonton sambil chanting. Mereka ini kelompok yang merancakkan suasana stadium.
"Kategori ketiga, kelompok penyokong yang datang untuk membuat masalah. Kelompok ini yang sering menimbulkan kekacauan di stadium.
"Andai kelompok Ultras Malaya wujud secara rasmi pada 2007, kita juga berdepan masalah budaya kasual satu sub budaya skinhead dari England dan Eropah yang terkenal dengan ketaksuban melampau yang membawa kepada pergaduhan dan seterusnya rusuhan.
Kelakuan samseng sebahagian penyokong pada perlawanan Liga Perdana antara Kelantan FC dan Perak FC.
"Terdapat desas-desus pergaduhan di antara penyokong Malaysia dan Indonesia pada separuh akhir Piala AFF pada 2004 di luar Stadium Nasional angkara kelompok penyokong samseng ini," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, cara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menguruskan penyokong wajar dicontohi agar masalah ini dapat dibendung dengan efektif.
"Pasukan seperti JDT mengenal pasti kelompok penyokong sebegini dan mereka ini dilarang daripada datang ke stadium.
"Di Eropah, bilik kawalan atau control room yang dipantau oleh polis dibantu ketua pegawai keselamatan bukan sahaja bagi mengurus situasi dan suasana di stadium tetapi juga bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan rusuhan dan keganasan dan langkah sewajarnya
"Tanggungjawab memastikan keselamatan terjamin untuk semua pemegang taruh, khususnya penyokong yang mahu menonton bola sepak secara santai, bukan sahaja terletak di bahu FAM atau MFL menerusi kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi juga pihak berkuasa tempatan yang wajar menyediakan CCTV di lokasi strategik di dalam stadium dan sekitar venue.
"Walaupun pihak berkuasa digesa mengetatkan langkah-langkah keselamatan di pintu masuk, kita jangan lupa masalah juga boleh berlaku di luar stadium.
"Tetapi sejarah menunjukkan bahawa kita tidak akan belajar daripada sejarah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram