MEMORI kekalahan 2-4 pada aksi separuh akhir Piala FA melibatkan pasukan Selangor FC dan Terengganu FC pasti masih segar dalam ingatan skuad Merah Kuning.
Bakal bertemu dengan Skuad Penyu sekali lagi untuk saingan Liga Super pada Rabu, Selangor FC yang akan turun dengan Ketua Jurulatih baharu, Nidzam Jamil dijangka melaksanakan 'misi balas dendam'.
Peka dengan situasi tersebut, pengurus Terengganu FC (TFC), Mohd Fadhil Wahab mahu skuadnya bersiap sedia dengan permainan agresif yang bakal ditampilkan pasukan Selangor FC dalam aksi Liga Super pada Rabu.
"Bila jadi pasukan pelawat, kami perlu sentiasa bersedia dengan bahang dari peminat pasukan lawan yang akan hadir ke stadium nanti.
"Sewaktu Piala FA, kami tuan rumah. Sekarang, Selangor pula tuan rumah. Jadi, suasana pasti berbeza biarpun kami tampil sebagai pasukan yang menang sebelum ini.
Mohd Fadhil mahu anak buahnya tumpu pada misi raih tiga mata kemenangan. — Agensi
"Lebih-lebih lagi, Selangor dikendalikan oleh jurulatih baharu. Jadi, kami tidak dapat jangka taktikal apa yang akan mereka guna.
"Kami akan buat yang terbaik untuk dapatkan tiga mata perlawanan," katanya kepada Majoriti.
TFC mara ke pentas akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan penalti setelah kedudukan terikat seri 1-1 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 6 Ogos lalu.
Dengan kemenangan itu, TFC yang dibimbing ketua jurulatih Nafuzi Zain akan berdepan pasukan Johor Darul Takzim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram