'Buang kampung tu,' Arif Aiman dipesan jika mahu berkelana


  • Podium
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Arif Aiman dikhabarkan bakal disambar sebuah kelab yang berpangkalan di Perancis. — Facebook

KEHEBATAN bintang muda sensasi skuad Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi tidak perlu dipertikaikan lagi memandangkan dia kini berada dalam radar beberapa ejen yang berpangkalan di luar negara.

Sebelum ini, pemain berusia 20 tahun itu sudah menarik minat sekurang-kurangnya 15 pemerhati bakat (scout) yang berpangkalan di Sepanyol.

Berketinggian 1.7 meter, Arif Aiman pernah dilaporkan akan disunting oleh satu kelab yang beraksi di liga J1, Shimizu S-Pulse.

Tambah menarik, perpindahan itu dikatakan akan dibuat tanpa sebarang pemilihan seperti pemain Asia Tenggara yang lain, lagi-lagi kontrak Arif Aiman bersama JDT difahamkan akan berakhir November depan.

Terbaharu, pemain sayap muda itu dikatakan bakal disambar sebuah kelab berpangkalan di Perancis.

299010250_5749254721775937_6998016899715790143_n

Tangkap layar senarai pemain AS Saint-Étienne di Wikipedia yang memasukkan nama Arif Aiman. — Facebook

"Khabar angin di Perancis, AS Saint-Étienne berminat dapatkan pemain muda berbakat besar JDT, Arif Aiman. AS Saint-Étienne pernah menjadi pasukan terbaik Eropah tetapi kini bermain Ligue 2 (divisyen ke-2 bola sepak Perancis).

"Seseorang menyunting Wikipedia AS Saint-Étienne bahawa Arif Aiman dalam senarai pemain mereka," tulis laman penyokong JDTFC dalam satu hantaran pada Ahad.

Semakan Majoriti mendapati nama Arif Aiman sudah dipadam daripada senarai itu namun seorang pengikut JDTFC berkongsi tangkap layar tersebut di ruangan komen.

Rata-rata peminat bola sepak khususnya penyokong JDT turut berasa gembira dan teruja dengan perkhabaran itu.

Begitupun, ada yang menyatakan kebimbangan kerana mengenang nasib beberapa pemain muda Malaysia yang gagal menyinar di luar negara.

297330587_2355508527945766_3951737603681674018_n

Arif Aiman (kiri) ketika beraksi menentang Penang FC dalam saingan separuh akhir Piala FA yang menyaksikan dia mencipta hatrik. — Facebook

Seorang penyokong, Kamarulzaman Ahmad berpendapat jikalau Arif Aiman mahu mengikut jejak langkah beberapa pemain tempatan yang mencari makan di luar negara, dia perlu bijak membahagikan antara kerjaya dan peribadi.

"Main bola ni adalah pekerjaan, apabila dah attached bekerja di luar negara jangan link banyak sangat dengan Malaysia. Nanti tak fokus.

"Jasad di Perancis (tapi) jiwa di Malaysia... miss kicap laa, rindu belacan laa...macam-macam. Kalau nak betul-betul international, keep your life personal.

"Tidak perlu kongsi dengan Malaysia. Join them and be together with them... buang kampung tu...Insya-ALLAH maju sebagai pemain bola," tulisnya.

Seorang lagi penyokong, Akhir Azman pula merasakan, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) tidak akan melepaskan Arif Aiman dengan mudah.

Ini kerana dia berpendapat, TMJ pasti tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Aku pun tak cadang dia pergi luar negara. Takut jadi seperti apa yang berlaku kepada beberapa pemain muda lain termasuk Luqman Hakim Safawi Rasid dan Hadi Fayadh.

"Kebanyakan pemain Asia susah nak dapatkan tempat di Eropah. Tak macam pemain Amerika Selatan, Korea and Jepun," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram