Aksi simulasi 'over' Afolabi layak diberi amaran keras — Subkhiddin


  • Podium
  • Khamis, 11 Ogos 2022

Tangkap layar aksi Afolabi yang dikatakan melakukan aksi simulasi berlebihan.

AKSI Liga Perdana antara Kelantan FC menentang Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu dicemari dengan insiden kekecohan melibatkan kedua-dua penyokong pasukan yang dikatakan berpunca daripada provokasi oleh segelintir penyokong pasukan pelawat.

Selain itu, kejadian yang disifatkan tidak profesional juga turut meraih perhatian penyokong yang mana aksi pemain import Perak FC, Sunday Afolabi melakukan aksi simulasi berlebihan.

Ketika pasukan pelawat memperoleh sepakan sudut, Afolabi dikatakan cuba memprovokasi pertahanan Kelantan pada minit ke-85 dengan aksi tarian di hadapan penyokong Perak.

Pemain dari Nigeria itu mendakwa dikasari oleh pertahanan Kelantan, Abdul Latiff Suhaimi sehingga menyebabkan dia terjatuh meskipun jelas hanya ada sedikit sentuhan oleh pemain The Red Warriors (TRW) itu.

Afolabi dengan secara tiba-tiba bergolek di padang tanpa henti bagi meraih perhatian pengadil perlawanan.

Rakaman Afolabi dengan secara tiba-tiba bergolek di atas padang tanpa henti bagi meraih perhatian pengadil perlawanan.

Insiden itu mendapat perhatian dari semua peminat bola sepak termasuklah luar negara dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh turut memberikan pandangan memgenai insiden itu.

Menurut Subkhiddin, aksi dari pemain berusia 23 tahun itu sebenarnya sesuatu yang tidak dialu-alukan di dalam bola sepak dan amaran keras perlu diberikan kepada Afolabi.

Meskipun ramai penyokong yang mempersoalkan mengapa aksi berkenaan tidak dilayangkan kad kuning, Subkhiddin menegaskan bahawa tidak semua perlu berakhir dengan hukuman berbentuk kad.

"Saya terfikir untuk alasan apakah yang bersesuaian dengan tingkah laku pemain tersebut. Salah satu yang terbaik adalah memberikan amaran keras supaya semua pemain yang lain dapat mengambil maklum.

"Kad kuning, tidak ada halangan tetapi dalam menguruskan perlawanan bukan semuanya perlu berakhir dengan penggunaan kad kuning atau merah," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, pengadil sepatutnya memainkan peranan dengan memberikan amaran keras kepada Afolabi agar pemain lain juga dapat memahami bahawa kelakuan sebegitu perlu dielakkan.

Jelasnya, sebarang tindakan disiplin tidak diperlukan berhubung aksi itu namun amaran perlu diberi sebagai pengajaran buat pemain berkenaan.

"Amaran keras tu bermaksud ‘verbal warning’ oleh pengadil diatas padang dan sudah pasti dengan aksi sebegitu menguatkan lagi bahawa dia perlu diberi amaran. Semasa pemain tersebut menari-menari sekalipun kepada penyokong sendiri, pengadil perlu proaktif untuk memberi teguran kerana ianya kelihatan berunsurkan provokasi.

"Biar semua pemain dan pegawai teknikal memahami kelakuan seperti itu sangat perlu dielakkan.

"Understanding football, being intelligent dalam menguruskan pemain adalah perlu untuk membolehkan mereka faham bahawa kelakuan sedemikian tidak dialu-alukan didalam sukan bolasepak ditahap tertinggi. Saya tidak nampak keperluan untuk tindakan disiplin," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram