BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berpendapat pertahanan Johor Darul Takzim, Nathaniel Shio Hong Wan sepatutnya dilayangkan kad merah dalam aksi menentang Terengganu FC di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Rabu, malam.
Menurut Subkhiddin, ini kerana Hong Wan yang dirujuk beliau sebagai Blue-6 melakukan kesalahan serious foul play.
"Saya berpendapat Blue-6 bersalah untuk kesalahan serious foul play dan kad merah sepatutnya diberikan," katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Mengulas lanjut, Subkhiddin berkata, berdasarkan pemerhatiannya, kaki Blue-6 lurus dan penggunaan stud adalah jelas semasa tackle dilakukan.
"Blue-6 berlari dari satu jarak dan melakukan aksi sliding tackle pada kelajuan tinggi.
"Blue-6 gagal mengawal badannya yang terus ‘menggelongsor’ dan menyebabkan force berterusan di point of contact lawannya," katanya lagi.
Subkhiddin berpendapat Blue-6 bersalah untuk kesalahan serious foul play dan kad merah sepatutnya diberikan.
Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkata, keputusan melayangkan kad merah kepada Blue-6 yang sepatutnya dibuat dalam perlawanan itu adalah dengan melihat kepada beberapa pertimbangan.
"Pertama, kita perlu melihat tahap kelajuan dan intensiti semasa melakukan cabaran.
"Seterusnya kita tengok di udara, di tanah atau tidak ada kesempatan untuk mengawal badan dan adakah cabaran melibatkan penggunaan stud semasa ia dilakukan," katanya.
Pada masa sama, Subkhiddin berkongsi penerangan serious foul play menurut buku Undang-undang Permainan 2022/23 di bawah Undang-undang 12, Kesalahan dan Salah Laku, muka surat 106.
Aksi Hong Wan dalam perlawanan menentang TFC, pada Rabu, malam. — Facebook/MFL
Katanya, serious foul play bermaksud tackle atau cabaran yang membahayakan keselamatan pihak lawan atau menggunakan kekerasan atau keganasan berlebihan yang mesti dikenakan tindakan serius.
"Mana-mana pemain yang menerjah ke arah pihak lawan dalam mencabar bola dari hadapan, dari sisi atau dari belakang menggunakan satu atau kedua-dua belah kaki, dengan kekerasan berlebihan atau membahayakan keselamatan pihak lawan adalah melakukan kesalahan yang serius (serious foul play)," jelasnya.
Majoriti sebelum ini melaporkan rata-rata penyokong TFC tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang tidak melayangkan kad merah kepada Hong Wan.
Ini selepas pemain itu tidak dikenakan layangan kad kuning kedua oleh pengadil bertugas apabila dia mengasari Syafik Ismail pada minit ke-75. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram