KUALA Lumpur City FC (KL City) mengesahkan tiket perlawanan akhir Zon Asen saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan menundukkan kelab Vietnam, Viettel FC 6-5 melalui penentuan sepakan penalti selepas seri tanpa jaringan dalam 120 minit permainan.
Perlawanan itu merupakan sejarah baharu buat skuad The City Boys kerana ia merupakan kali pertama mereka layak ke pentas akhir Zon Asean selepas penantian 28 tahun untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati pertandingan itu.
Aksi yang berlangsung di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, Vietnam itu menyaksikan penjaga gawang, KL City FC, Muhammad Azri Abdul Ghani muncul wira pasukan apabila berjaya menepis sepakan penalti ketujuh pasukan tuan rumah diambil Bui Duy Thuong.
KL City meraihkan kejayaan bersama penyokong The City Boys di Stadium Thong Nhat. — Facebook KL City FC
Kejayaan skuad di bawah kendalian Bojan Hodak itu bukan sahaja menggembirakan penyokongnya, malah menjadi pengubat duka buat peminat bola sepak tanah air selepas satu lagi wakil negara Kedah Darul Aman (KDA) FC gagal mara ke final Zon Asean.
"Tahniah KL City.. Pengubat kecewa kami orang-orang Kedah," kata Ahmad Fauzi.
"Tahniah KL City pasukan yang mengharumkan nama malaysia di pentas Asia..tak macam pasukan Kedah asyik kalah sahaja," kata Al Fatih.
"Tahniah KL City. Harapkan Kedah, MB Sanusi pun menghilangkan diri. Jangan kata serangkap pantun, satu patah pun tidak ada. Mendiamkan diri seribu bahasa. Bak kata orang dulu-dulu, bagaikan meludah ke langit. Terkena muka sendiri," ujar M'Azrul Majid.
Malah, ada juga yang membandingkan sikap pengurusan KL City dan Kedah yang mana mereka menyifatkan skuad Hijau Kuning hanya sekadar menabur janji kosong.
Mana tidaknya sebelum ini pengurusan Kedah berkata akan mencari penyelesaian lebih rasional bagi menaikkan semula semangat pasukan untuk beraksi di pentas separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022 namun sebaliknya berlaku.
Kesebelasan utama KDA FC sewaktu menentang PSM Makassar pada Selasa. — Facebook KDA FC
"Tahniah KL City FC. Pasukan yang 'jangan cakap kosong, tapi buat saja'. Pasukan yang tahu 'cakap sahaja, aksi tiada’ itu memang memalukan Malaysia sahaja," ujar Fiezz Xander Baron.
"Tahniah macam inilah main demi negara....jangan jadi macam Kedah...bercakap bergegar-gegar tapi habuk pun tiada, merosakkan MAA ranking lagi ada lah..Tahniah KL City....ajar Kedah macam mana main AFC," Danial Merah.
Skuad di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak gagal pada peringkat separuh akhir selepas kecundang 1-2 kepada wakil Indonesia, PSM Makassar, Selasa.
KL City FC bakal menghadapi perlawanan akhir Zon Asean dijadual berlangsung 24 Ogos ini dengan venue perlawanan akan ditentukan menerusi undian akan datang.
Manakala, juara kemudian akan meneruskan cabaran berentap dalam peringkat separuh akhir antara zon bagi meneruskan pemburuan kejuaraan Piala AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram