TFC wajib kekalkan 5 pemain ini jika Faisal Halim sah berhijrah


  • Podium
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Kontrak Faisal bersama TFC akan berakhir 30 November ini.

USAHA Terengganu FC (TFC) untuk menyambung kontrak pemain sayap kebangsaan Faisal Halim, yang bakal tamat pada 30 November depan dikatakan masih lagi belum membuahkan hasil.

Rata-rata peminat TFC percaya pemain berusia 24 tahun itu sedang mengintai tawaran lebih baik daripada beberapa pasukan lain yang ingin mendapatkan khidmatnya musim depan.

Meskipun sering diulit kontroversi, Faisal digeruni pasukan lawan kerana kelincahannya mengawal bola dan membuat hantaran yang sering kali membolos gawang pasukan lawan.

Setakat ini, Faisal telah menyumbangkan tiga gol pada 11 penampilannya bersama TFC dengan keseluruhan 815 minit perlawanan.

Cuma pada masa sama, peminat berasakan masih ada pemain lain yang sehebat Faisal, jadi kehadirannya tidak begitu dirindui jika benar menyarung jersi pasukan lain selepas musim ini berakhir.

Sekiranya TFC kehilangan Faisal, berikut adalah lima pemain skuad Peteh yang harus dikekalkan pengurusan musim depan:

Faiz bangkit selepas dibelenggu masalah kesihatan. Agensi

1. Faiz Nasir

Bagaikan badang, pemain tengah menyerang TFC ini mampu kembali ke prestasi terbaik sebaik sahaja pulih dari masalah kesihatan yang memaksanya untuk dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada April lalu.

Bekas pemain kebangsaan itu mengalami faktor keletihan, sakit kepala dan kesukaran bernafas yang menyebabkannya terpaksa meninggalkan padang buat sementara waktu.

Tidak menyerah kalah, Faiz tampil sebagai tonggak penting TFC apabila dua gol dan satu assist yang dilakukannya membawa pasukan tersebut ke final Piala FA musim ini.

Azam tampil pada hampir semua perlawanan TFC. Agensi

2. Azam Azmi

Pertahanan kanan TFC ini merupakan antara tonggak ketua jurulatih, Nafuzi Zain apabila diberi kepercayaan untuk turun padang pada 10 daripada 12 perlawanan dalam saingan Liga Super.

Nafuzi turut menurunkan pemain yang baru berusia 21 tahun itu pada kesemua perlawanan Piala FA sekali gus membuktikan betapa TFC masih memerlukan pemain ini.

Setakat ini, pemain berasal dari Pulau Pinang itu telah mengumpul 1,154 minit perlawanan yang sudah tentu akan menjadi tarikan kelab-kelab lain sekiranya tidak segera diikat TFC musim depan.

Shahrul Nizam

Shahrul rahsia kekuatan benteng pertahanan TFC. Facebook/ TFC

3. Shahrul Nizam

Pemain pertahanan tengah TFC ini membentuk gandingan mantap bersama pasangannya di tengah padang iaitu pemain import dari Senegal, Pape Diakite.

Merupakan pemain kidal, Shahrul terkenal dengan jolokan kereta kebal itu turut dilaporkan berada di dalam radar ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Jika TFC melepaskan Shahrul ke kelab lain, benteng pertahanan TFC dilihat agak goyah sekali gus mencacatkan keseluruhan prestasi pasukan.

Umur muda Syafiq menjadikannya prospek masa depan TFC. Facebook/ TFC

4. Syafiq Ismail

Kelincahan gerakan dengan hantaran tepat yang dimiliki pemain sayap kiri TFC ini sering membuatkan pasukan lawan gentar dengan kehadirannya.

Setakat ini, dua hantarannya berjaya membantu rakan pasukan menjaringkan gol ke dalam gawang lawan dalam saingan Liga Super musim ini.

Dengan umurnya yang masih muda, Syafiq mampu menjadi prospek masa depan pasukan TFC sama seperti mana Faisal Halim.

Nik sudah serasi dengan taktikal Nafuzi. Facebook/ TFC

5. Nik Sharif

Pemain pinjaman dari Selangor ini menyertai TFC sejak Mei lalu ini dan kini sudah serasi dengan taktikal yang diterapkan Nafuzi.

Bahkan, pemain berusia 25 tahun itu akui sangat bermotivasi menjelang perlawanan separuh akhir Piala FA, TFC menentang majikannya sendiri.

Oleh itu, wajar buat pihak pengurusan TFC untuk menukar status Nik daripada pemain pinjaman ke status pemain tetap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram