DI sebalik sebahagian penyokong Sabah FC yang mahu pemain import mereka, Jose Embalo digugurkan rentatan prestasinya yang tidak memuaskan, masih ada sebahagian lagi yang menaruh harapan.
Pemain berusia 29 tahun tersebut masih gagal mencari rentaknya biarpun sudah membuat lima penampilan bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Menurusi laman Facebook Demi Sabah, penyokong menyuarakan keyakinan mereka terhadap peningkatan prestasi penyerang dari Guinea-Bissau itu dalam saingan Liga Super menentang Sarawak United pada Selasa malam.
Menurut mereka, kembalinya Sadil Ramdani, Rizal Ghazali, Baddrol Bakhtiar serta beberapa pemain utama lain kesebelasan utama The Rhinos memberi peluang cerah kepada Embalo untuk membuka akaun gol pertamanya buat kelab Borneo itu ketika berdepan Sarawak United.
Biarpun dengan keyakinan 70 peratus (%) gol akan dijaringkan serta 100% peningkatan prestasi akan berlaku, penyokong tersebut masih menitip amaran di dalam sokongannya itu.
"Perlawanan menentang Sarawak United malam ini (Selasa) merupakan peluang Embalo tunjukkan kebolehannya sebagai penyerang import.
"Kalau kau (Embalo) masih lagi tidak menjaringkan sebarang gol dan pamer permainan seperti penyerang. Faham-fahamlah.
"Neto Pessoa pun, dalam enam penampilan ada juga jaringan dua gol. Kalau malam ini (Selasa) kau masih tidak mampu menghadiahkan sebarang jaringan, sila keluar secara terhormat.
"Biar pihak pengurusan cari pengganti yang betul-betul penyerang tulen untuk kuatkan pasukan.
"Sebab kalau kau lemah juga, nyawa kamu di hujung tanduk. Come on Embalo ini kalilah!" katanya.
Sebagai rekod, Embalo di bawa ke Sabah pada Jun lalu untuk menggantikan Neto yang gagal mengekalkan prestasi terbaik ekoran kecederaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram