MEDIA sosial semakin hangat dengan perdebatan penyokong-penyokong bola sepak yang tidak sudah-sudah membandingkan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perdebatan dalam kalangan peminat itu dipercayai rentetan kepada dua prestasi semasa berbeza yang dialami kedua-dua kelab itu.
Ini kerana, kelab Harimau Selatan gah berada di puncak Liga Super dengan 35 mata dalam genggaman, selain turut berjaya menempah slot ke final Piala FA.
Manakala Selangor FC pula sekadar di tangga ketujuh Liga Super dengan keseluruhan 16 mata serta tewas di pentas separuh akhir Piala FA.
Kebanyakan peminat sukan tanah air yang menyertai perdebatan itu membandingkan kedua-dua sosok tersebut berdasarkan latar belakang kedua-dua figura tersebut sebagai golongan istana.
Tangkap layar perdebatan yang dimulakan oleh Harimau Selatan X.
Begitupun, penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berpendapat, perbandingan tersebut tidak wajar kerana kedua-dua figura terbabit memegang posisi berbeza bersama kelab masing-masing.
Menurut Pekan, TMJ merupakan pemilik mutlak JDT yang membolehkan baginda memiliki kuasa penuh ke atas segala pembuatan keputusan dalam JDT.
Manakala RMS pula, ujar beliau, memegang profil sebagai Presiden kelab dengan pemilikan kelab berada di bawah Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).
"Sebelum sebarang perdebatan berlaku, wajar kita lihat apakah posisi baginda berdua dalam kelab masing-masing. Kita jangan tengok status baginda berdua sebagai golongan istana sahaja.
"Sebagai pemegang saham utama, TMJ mempunyai kuasa mutlak dan menyeluruh berbanding RMS yang memiliki kuasa terhad.
"Justeru, perbandingan membuta tuli seperti itu adalah tidak munasabah sama sekali," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu pada Isnin malam, TMJ mendedahkan bahawa Harimau Selatan melakukan sistem satu bos sahaja apabila segala keputusan dibuat di tangan baginda dan apa juga yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab baginda.
Selain itu, TMJ turut menegaskan bahawa pengurusan manusia adalah benda yang paling penting dalam bola sepak yang mana pemain perlu berada di tahap yang terbaik melibatkan emosi dan kecergasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram