Sabah FC masih sayangkan Embalo


  • Podium
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Embalo (kanan) perlu segera menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan lain di Sabah FC. — Facebook/Sabah Football Club

TONGGAK import baharu Sabah FC, Jose Embalo masih dilihat tidak begitu memberi impak di bahagian hadapan apabila penyerang dari Guinea-Bissau itu masih tercari-cari rentak permainannya untuk membantu Sabah mendapatkan jaringan.

Rata-rata penyokong Sang Badak tampak tidak berpuas hati dengan persembahan pemain kelahiran Portugal itu yang tidak memberikan sebarang impak positif selepas mengharungi enam perlawanan bersama Sabah FC.

Memahami kekecewaan penyokong yang mendesak supaya Embalo disingkirkan daripada The Rhinos, pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir tampil menjernihkan suasana.

Bercakap kepada Majoriti, beliau meminta supaya penyokong terus memberi peluang kepada import berusia 29 tahun itu untuk menyesuaikan diri dengan permainan di Liga Malaysia (Liga M).

"Kita bagi dia peluang lagi untuk menserasikan diri dalam Liga M. Saya tahu ada peminat yang tidak kurang senang dengan prestasi semasa Embalo.

"Tapi semakin lama dia bermain dengan Sabah, saya dapat lihat Embalo menunjukkan peningkatan dalam permainan," katanya.

Tambah Marzuki, semua pihak termasuk pengurusan, barisan kejurulatihan dan penyokong kena memberi sokongan serta dorongan kepada Embalo untuk melonjakkan prestasinya.

"Kita kena encourage lagi dia dan jangan jatuhkan moralnya. Kita minta peminat Sabah faham (situasi) Embalo," ujarnya.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli sebelum ini juga pernah menyuarakan pendapat bahawa Embalo dilihat masih belum serasi dengan pasukan Sabah.

Sebagai rekod, Embalo di bawa ke Sabah pada Jun lalu untuk menggantikan Neto Pessoa yang gagal mengekalkan prestasi terbaik ekoran kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram