Simpati Kedah tersingkir AFC, aura legenda Sang Kenari takkan pudar di Sabah


  • Podium
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Baddrol (tengah) yang bertindak sebagai kapten Sabah FC memberi contoh yang baik kepada semua pemain pasukan itu. — Facebook/ Sabah Football Club

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) hanya mampu menggigit jari selepas mereka tewas 1-2 kepada PSM Makassar di peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia, pada Selasa.

Sebahagian besar penyokong Kedah berpendapat kekalahan itu antara lain berpunca daripada ketiadaan pemain tonggak seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang meninggalkan skuad itu untuk mencari angin baru di Sabah FC musim ini.

Baddrol yang terkenal dengan jolokan Kapten Marvel mempamerkan aksi cemerlang dengan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee musim ini apabila sudah mencetak empat gol bersama Sang Badak setakat ini.

297768364_3306421392938304_2220538597501586872_n

Azraai berpendapat tidak semua pemain boleh bergelar kapten seperti Baddrol. — Facebook/ Sabah Football Club

Gol terbaharu pemain berusia 34 tahun itu dijaringkan dalam perlawanan Derbi Borneo di Stadium Likas, pada Selasa yang menyaksikan Sabah FC menang dengan keputusan 1-0 menentang Sarawak United FC.

"Baddrol menjaringkan gol kemenangan Sabah. His aura never fades (Auranya tidak pernah pudar).

"The arm band is not for everybody. Its only for the general in the field who can lead the army. (Bukan semua boleh menjadi kapten. Ia hanya untuk jeneral di lapangan yang boleh memimpin bala tenteranya)," kata bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah ketika mengulas mengenai gol tersebut.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir turut mengakui aura Baddrol sebagai seorang pemain yang memiliki kredibiliti tinggi semasa di Kedah, tidak pernah pudar meskipun dia kini bersama Sang Badak.

298205778_3306421729604937_6372069340505499725_n

Sabah FC memiliki perancangan untuk mengekalkan Baddrol dan Rizal Ghazali di Sabah FC pada musim depan. — Facebook/ Sabah Football Club

"Baddrol seorang pemimpin di atas padang, dia memberi contoh yang baik kepada semua pemain seperti apa yang dibuat dalam game lawan Sarawak semalam (Selasa).

"Dia seorang pemain yang ada apabila diperlukan. Dia big-game player. Dia tahu bagaimana nak jaringkan gol di saat-saat genting," katanya kepada Majoriti.

Marzuki berkata, Sabah FC memiliki perancangan untuk mengekalkan Baddrol dan Rizal Ghazali di Sabah FC pada musim depan.

"Kita rancang untuk kekalkan Baddrol. Dia pun ada nyatakan bahawa berminat untuk kekal di Sabah. Rizal juga...kami di pengurusan memang nak kekalkan mereka.

"Namun apapun ia berbalik kepada Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih untuk menentukan nasib mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram