PENDUDUK rumah flat semestinya sudah lali dengan isu parking kereta yang sering menjadi rebutan ramai hinggakan ada yang sengaja meletakkan kenderaan di tengah laluan jalan raya.
Situasi ini sememangnya mendatangkan masalah pada penghuni flat yang pulang ke rumah pada lewat malam kerana terpaksa menghabiskan masa yang lama untuk mencari kekosongan parkir.
Isu ini boleh digambarkan menerusi perkongsian video di laman TikTok apabila pemandu lelaki ini yang dipercayai merupakan salah seorang penghuni flat di ibu negara, meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan sesetengah masyarakat apabila kebanyakan kereta diletakkan terlampau rapat.
Difahamkan, lokasi flat berkenaan terletak di Taman Dato' Senu, Sentul, Kuala Lumpur dan rata-rata komen netizen di TikTok seakan-akan sudah lali dengan isu parkir yang tidak berkesudahan di sana.
Jelas pemilik video tersebut, perkara utama yang menjadi permasalahan adalah jarak antara sebuah kenderaan dengan yang lain terlampau rapat kira-kira satu atau dua sentimeter (cm) sahaja.
Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan laluan kereta, malah pergerakan keluar masuk parkir juga akan menjadi perlahan dan mudah dilanggar kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.
Salah seorang penghuni flat, Mizanorizan turut meluahkan pendapat apabila dia berasa takut untuk meletakkan kereta di kawasan itu.
"Mak saudara aku duduk sini, 15 minit sebelum sampai aku bagitau pak saudara minta tolong parkingkan kereta sebab aku takut nak keluar masuk sana," katanya.
Mengupas lebih lanjut berkenaan isu ini, rata-rata penghuni di flat berkenaan seperti sudah tidak tahan untuk menanggung risiko kereta calar, kemek dan sebagainya. Tidak kurang juga, ramai yang sedang mencari rumah lain untuk berpindah segera.
Emi Omar berkata: "10 tahun hadap kereta calar, kemek teruk, side mirror patah masa parking.
"Kadang tengah parking elok dalam kotak pun kena calar, sekarang lega dah pindah rumah," katanya.
Abang Laser menambah: "Saya pun sama, tapi belum ada rezeki untuk pindah rumah lagi, sekarang sedang mencari," katanya.
Perkara ini difahamkan sudah berlarutan sejak 10 tahun yang lalu apabila kebanyakan penghuni tetap di situ mendakwa, kenderaan di kawasan itu semuanya sudah biasa parking dalam jarak yang rapat.
Majoriti sedang berusaha mendapatkan kenyataan balas pihak berkuasa tempatan berhubung aduan penduduk berkenaan. — Majoriti