Mengamuk dilanggar di Negeri Sembilan, pemandu lori libas mangsa dengan parang


  • Tular
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan lelaki terbabit mengamuk dan kejar mangsa menggunakan parang.

ISU keganasan sering berkait rapat dengan kes pergaduhan terutamanya mereka yang menggunakan peralatan tajam ataupun bahan api sebagai senjata.

Situasi ini sememangnya satu perkara yang ditakuti dan digeruni ramai kerana risiko kecederaan yang bakal menimpa bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh.

Terbaharu, tular di laman Facebook sejak Selasa apabila seorang lelaki dipercayai terlibat dalam satu pelanggaran kecil di Negeri Sembilan, telah bertindak ganas dengan mengejar mangsa menggunakan parang.

Tidak berpuas hati atas apa yang berlaku, lelaki tersebut lantas turun daripada lorinya lalu mencapai sebilah parang untuk melibas mangsa kemalangan.

Meskipun mangsa cuba lari dan menyelamatkan diri daripada dilibas, lelaki berkenaan yang mengamuk bagai dirasuk nyata tidak berputus asa sebaliknya terus mengejar sambil melemparkan kata-kata pesat.

Menerima pelbagai reaksi dan komen daripada netizen, rata-rata mempersendakan lelaki tersebut yang dilihat tercungap-cungap kepenatan setelah mengejar tanpa henti.

Joheeri Ery berkata, "Baru 50 meter lari dah semput, kalau mangsa kejar balik bagi penumbuk mesti tidur atas tar lelaki yang mengamuk tu," katanya.

"Sibuk berlari dengan badan macam tu, kan dah termengah-mengah," kata Roland Lendborneo.

Selain itu, ramai juga yang berharap agar kes tersebut menerima siasatan daripada pihak PDRM dan dibawa ke muka keadilan terutamanya lelaki yang mengamuk berkenaan.

Rata-rata turut meletakkan tanda pagar #PDRM di ruangan komen agar isu ini mendapat perhatian pihak penguatkuasa.

Walaubagaimanapun, pergaduhan tersebut berakhir tanpa sebarang titisan darah dan kecederaan apabila lelaki tersebut beredar tidak lama selepas mangsa berulang kali meminta maaf.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram