Gerun hadapi Kedah, PSM Makassar awasi 3 bintang Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Sebahagian pemain KDA FC menjalani sesi latihan regangan menjelang perlawanan menentang PSM Makassar di Stadium I Wayan Dipta, Bali malam ini. — Facebook/KDA FC

KELAB Indonesia, PSM Makassar akan melayani kunjung Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di saingan separuh akhir zon Piala AFC ASEAN 2022 yang akan berlangsung di Stadium I Wayan Dipta, Bali, Indonesia pada Selasa malam.

Sebagai pasukan tertua Indonesia, PSM Makassar sedar kekuatan KDA FC sebagai wakil Malaysia, malah skuad kendalian jurulatih Aidil Sharin Sahak itu layak sebagai juara kumpulan G.

Dalam saingan kumpulan G, KDA FC mencatat dua kemenangan ke atas Kaya FC-Iloilo dan Visakha FC serta satu kekalahan ketika bertemu Bali United FC.

Memetik laporan makassar.tribunnews.com, pasukan kendalian Bernardo Tavares harus berwaspada dengan tiga pemain Kedah iaitu Mahmoud Al Mardi, Fayadh Zulkifli dan Ronald Ngah.

Tiga pemain itu membantu Sang Kenari menjuarai Kumpulan G Piala AFC 2022 dengan keseluruhan sembilan jaringan gol.

290748244_456019946359361_8783784432322449271_n

Al-Mardi merupakan penjaring terbanyak Piala AFC Zon Asean setakat ini dengan empat gol. — Facebook

1) Mahmoud al-Mardi

Al-Mardi bermain sebagai pemain tengah menyerang. Pemain berketinggian 178 sentimeter itu mempunyai visi permainan yang baik.

Import Kedah dari Jordan itu juga mempunyai kemahiran dan ketepatan umpanan yang baik.

Dia bukan sahaja bijak memberikan bantuan gol, malah memiliki skil penyudah yang tajam.

Terbukti pemain berusia 28 tahun itu merupakan penjaring terbanyak Piala AFC Zon Asean setakat ini dengan empat gol.

Satu gol dicatatkan ketika Kedah FC menang 4-1 ke atas Kaya FC-Iloilo dan mencipta hatrik selepas menyumbat tiga gol untuk menewaskan Visakha FC 5-1.

Pada mulanya Al-Mardi dikatakan tidak akan beraksi ketika berdepan PSM Makassar kerana pulang ke Jordan gara-gara kematian bapanya, namun ada laporan terkini menyebut bahawa tonggak import itu melupakan cuti pelepasan demi membantu Kedah merealisasikan misi layak ke final Piala AFC.

290553324_453758659918823_6125496059881013671_n

Fayadh membantu Kedah membenam Kaya FC-Iloilo dengan dua jaringan gol dalam perlawanan pada 27 Jun lalu. — Facebook

2) Fayadh Zulkifli

Fayadh Zulkifli juga wajar mendapat perhatian PSM Makassar. Kepantasan dan ketangkasan pemain berusia 23 tahun itu sentiasa menyukarkan pihak lawan.

Dia juga dikatakan mampu memberi hantaran silang yang baik dari bahagian sayap untuk mengkucar-kacirkan benteng lawan.

Dalam Liga Super, pemain sayap itu telah menjaringkan dua gol menerusi 13 perlawanan. Di Piala AFC pula, Fayadh Zulkifli menjaringkan tiga gol daripada tiga perlawanan.

291323806_456041946357161_3849709369178645910_n

Ronald Ngah dianggap berbahaya kerana mampu memanfaatkan ruang kosong di kawasan pertahanan lawan untuk melakukan jaringan. — Facebook

3) Ronald Ngah Wanja

Pemain Cameroon itu perlu mendapat perhatian pemain pertahanan PSM Makassar. Ini kerana Ronald Ngah Wanja masih dianggap mesin gol bagi KDA FC.

Dalam Liga Super Malaysia, pemain berusia 30 tahun itu telah menjaringkan lapan gol daripada 13 perlawanan manakala dalam Piala AFC pula dia berjaya mencetak dua gol.

Pemain berposisi penyerang ini mempunyai susuk tubuh yang tegap. Dia tidak mudah terjatuh semasa pertarungan fizikal bersama pihak lawan khususnya perebutan bola di udara.

Ditambah dengan kawalan bola yang sangat baik, Ronald Ngah dianggap pemain berbahaya kerana mampu memanfaatkan ruang kosong di kawasan pertahanan lawan untuk melakukan jaringan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram