Feichtenbeiner sah letak jawatan ketua jurulatih Selangor FC


  • Podium
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Nidzam Jamil (kiri) kini menggantikan Feichtenbeiner (tengah) sebagai jurulatih interim Selangor FC. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC pada Selasa mengumumkan bahawa pihak pengurusan tertinggi kelab itu dan Michael Feichtenbeiner telah mencapai persetujuan bersama untuk beliau melepaskan jawatan ketua jurulatih pasukan utama yang digalas selama setengah musim.

Persetujuan bersama itu bagi membolehkan Feichtenbeiner memberi fokus sepenuhnya kepada projek pembangunan bola sepak Selangor sebagai Pengarah Sukan Selangor FC yang disandang beliau sejak 2020.

Selangor FC dalam kenyataan pada Selasa berkata, pencarian ketua jurulatih baharu sedang dijalankan dan pihak kelab akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja segala penelitian dibuat.

"Tugas tersebut kini digalas oleh pembantu ketua jurulatih, Nidzam Jamil yang akan mengambil alih tanggungjawab mengemudi pasukan utama Selangor sebagai ketua jurulatih sementara (interim head coach) bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2022," kata kenyataan itu.

298524314_476794974452236_7046180812571406342_n

Kenyataan rasmi Selangor FC mengenai status Feichtenbeiner. — Facebook

Projek pembangunan bola sepak Selangor yang dimulakan Feichtenbeiner sejak 2020 telah melahirkan ramai pemain muda yang mewakili pasukan utama Selangor FC dan pasukan kebangsaan.

Sehingga kini, seramai 19 pemain muda dari pasukan feeder Selangor FC telah diserap ke pasukan utama seperti Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa, Quentin Cheng dan ramai lagi.

Pada tahun ini juga, seramai 10 pemain muda Selangor telah dipilih mewakili Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara dan seramai 13 pemain muda lagi telah mewakili Skuad B-19 negara untuk pelbagai kejohanan peringkat ASEAN dan Asia.

Selangor FC juga merupakan antara pasukan termuda (mengikut purata umur) dalam saingan Liga Malaysia 2022 dan pihak kelab percaya bahawa projek pembangunan ini wajar diteruskan demi kesinambungan masa depan kelab itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram