KEDUDUKAN di tiga tercorot Liga Super bukan alasan untuk Sarawak United terlalu menghormati pasukan di tangga kedua, Sabah FC menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Selasa.
Bahkan, Sarawak United sudah membuat persediaan lengkap baik dari segi fizikal mahupun mental bagi menghadapi tekanan berdepan pasukan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee tersebut.
Walaupun di atas kertas, harapan untuk Sarawak United menang itu tipis, namun ketua jurulatih Sarawak United, S. Balachandran enggan pemain-pemainnya cepat mengalah.
"Saya mahu mereka bermain habis-habisan. Sekarang ini, kami sudah habis buat persiapan secara keseluruhan dan bersedia untuk turun padang.
"Sabah bukan sahaja berada di kedudukan kedua liga, mereka juga berada di tahap prestasi yang baik. Jadi memang laluan sukar buat kami.
"Saya telah perkuatkan bahagian pertahanan agar kami tidak mudah dibolos dan saya telah memastikan para pemain saya bijak membuat serangan balas," katanya kepada Majoriti.
Balachandran mengakui laluan sukar menanti pasukannya. — Agensi
Lebih merumitkan situasi buat Sarawak United, perlawanan yang bakal diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah itu akan dihadiri penonton tuan rumah yang pasti akan memancing emosi pasukan pelawat.
Untuk rekod, perlawanan di Stadium Likas sering diwarnai dengan kontroversi yang menjadi topik bualan di media sosial.
Pada perlawanan menentang Johor Darul Takzim sebelum ini, peminat Sabah FC membaling botol air ke arah padang serta kawasan teknikal di tepi padang sehingga memaksa pengurusan pasukan itu untuk minta maaf kepada pasukan pelawat.
Sementara itu, pada saingan bertemu Melaka United, penyokong di Stadium Likas juga dikesan mengibar bendera berunsurkan parti politik.
Bagaimanapun, Balachandran merasa yakin pemain-pemain di bawah bimbingannya mampu fokus pada perlawanan dan selesaikan misi utama mereka.
"Kami sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan. Jadi, saya tidak rasa provokasi penyokong sebagai satu masalah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram