Seram, mumia tercantik di dunia kenyit mata hantui pengunjung makam bawah tanah


  • Benua
  • Isnin, 08 Ogos 2022

Jasad Rosalia berambut perang, kulit berlilin dan mata separa tutup. — Agensi

MAYAT seorang kanak-kanak perempuan yang sebelum ini 'dinobatkan' sebagai mumia tercantik di dunia didakwa menghantui pengunjung makam bawah tanah, Capuchin Catacombs di Sicily, Itali.

Jasad tersebut milik seorang kanak-kanak bernama Rosalia Lombardo yang dipercayai meninggal dunia sekitar 100 tahun lalu ketika berusia dua tahun.

Kecantikan rupa paras Rosalia yang seakan-akan sedang nyenyak tidur menarik perhatian pengunjung untuk melihatnya secara dekat.

Namun tindakan tersebut membawa padah kerana Rosalia dilaporkan pernah mengenyitkan matanya sekali gus membuatkannya dilabel sebagai 'berhantu'.

Khabar angin itu bagaimanapun disangkal oleh kurator makam berkenaan, Dario Piombino-Mascali yang kemudiannya menjelaskan bahawa kenyitan mata tersebut adalah hasil daripada ilusi optikal.

Pencahayaan sisi keranda serta jasad Rosalia yang masih berambut perang, kulit berlilin dan mata separa tutup memberikan ilusi seperti dia masih lagi hidup dan sedang tidur.

Pengunjung mumia

Capuchin Catacombs menerima ramai pengunjung saban tahun.Agensi

"Kenyitan mata itu sebenarnya ilusi optik yang dihasilkan oleh cahaya matahari dari tingkap sisi keranda.

"Cahaya matahari sentiasa berubah mengikut masa dan ini secara tidak langsung membuatkan Rosalia seakan-akan menggerakkan matanya.

"Ujian dan analisis yang mendalam mendapati organ-organnya masih utuh dan otaknya hanya mengecil kepada 50 peratus daripada saiz asal.

"Hasil imbasan X-ray juga menunjukkan kaki dan lengannya masih utuh. Ini semua kerana dia diawet dengan sempurna dan kemas," katanya.

Nama akhir Rosalia mengaitkannya dengan spekulasi bahawa dia adalah anak perempuan bangsawan Sicily, Mario Lombardo yang juga seorang jeneral tentera Itali.

Sebagai rekod, Capuchin Catacombs menampung lebih 8,000 mumia, termasuk 163 kanak-kanak.

Pada Januari 2022, kumpulan saintis telah dipanggil untuk menyelesaikan misteri disebalik mumia kanak-kanak di Sicily. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram