'Damage is done, all the best Michael,' penyokong Selangor FC pasrah respons RMS


  • Podium
  • Isnin, 08 Ogos 2022

Kekalahan Selangor FC di tangan Terengganu FC menamatkan kempen mereka di saingan Piala FA. — FB/Selangor FC

SESIAPA sahaja pasti kecewa melihat prestasi pasukan kesayangan mereka yang satu ketika dahulu gah di dalam Liga Malaysia (Liga M) kini bagai di tahap pasukan belasahan.

Situasi itu dialami penyokong-penyokong Selangor apabila skuad Gergasi Merah tewas menerusi penentuan sepakan penalti 2-4 kepada pasukan tuan rumah, Terengganu FC sekali gus menamatkan perjuangan mereka dalam saingan Piala FA.

Kekalahan tersebut seakan-akan menambah garam ke luka penyokong Selangor yang terpaksa akur dengan kedudukan skuad Merah Kuning yang kini berada di tangga ketujuh Liga Super dengan keseluruhan 16 mata dalam 13 penampilan mereka.

Terdahulu, para penyokong menggunakan saluran @selangorfans_official sebagai usaha untuk 'menegur' pihak pengurusan agar perubahan segera dilakukan jika mahu skuad Gergasi Merah untuk kembali ke prestasi terbaik.

Seruan tersebut terbalas apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mendedahkan bahawa baginda masih mempercayai keupayaan semua pemain dan barisan kejurulatihan Selangor FC yang ada sekarang.

Mengambil maklum prestasi semasa, Tengku Amir Shah percaya skuad kendalian Michael Feichtenbeiner dalam proses menjadikan pasukan lebih baik walaupun perubahan yang kecil.

“Perjalanan Selangor FC masih jauh. Kami akan sampai ke tahap yang diinginkan dan sedang melakukan progres itu. Saya masih mempercayai semua pemain dan juga barisan kejurulatihan. Mereka perlu bekerja lebih keras dan kita akan lihat hasilnya.

Michael masih lagi mendapat perkenan RMS, meskipun tidak direstui penyokong. Agensi

“Apa yang perlu diperbaiki adalah diri mereka sendiri. Para pemain perlu melihat kepada diri sendiri untuk lebih percaya kepada keupayaan mereka dan seterusnya lebih percaya kepada teman sepasukan.

"Sebagai contoh bahagian pertahanan perlu lebih memantapkan persefahaman sesama mereka. Tidak banyak perubahan yang perlu diperbaiki berdasarkan bahagian tetapi secara keseluruhan semua yang ada dalam pasukan perlu melakukan perubahan,” seperti yang dilaporkan FLASH SUKAN.

Melihat kepada kenyataan tersebut, rata-rata penyokong meneka bahawa tidak akan ada perubahan berlaku dalam masa terdekat dan mereka pasrah dengan nasib 'bekas' pemegang juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali.

Muhammad Rafi Nuridjal meluahkan kekecewaannya menerusi kumpulan Kelab Penyokong Selangor FC di Facebook.

"Jadi dijangkakan tidak akan ada sebarang perubahan ketua jurulatih hingga akhir musim ini. Kita sebagai penyokong terpaksa terima.

"Damage is done. Habiskan musim ni dengan apa yang ada. Tukar ketua jurulatih gaya terdesak takut yang teruk jadi makin teruk.

"Harap Michael guna peluang yang ada untuk teroka lagi pilihan taktikal dan pemain yang ada. Hampir mustahil nak mengharapkan nombor dua liga. Jadi harapan tinggal untuk Piala Malaysia.

"Jadi all the best coach Michael. Pilihan di tangan anda," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram