Tarikh dan venue final Piala FA masih jadi tanda tanya, MFL kata tunggu esok


  • Podium
  • Isnin, 08 Ogos 2022

Piala FA bakal dijulang juara baharu setelah 'disimpan' dua tahun akibat pandemik Covid-19. — Agensi

VENUE final Piala FA menjadi topik perbualan hangat penyokong bola sepak tempatan yang sudah tidak sabar lagi hendak menyaksikan perlawanan keramat antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).

JDT menepati ramalan melangkah ke pentas final selepas membelasah Penang FC 6-1 pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.

Sementara itu, TFC mara ke final Piala FA buat kali pertama sejak 2011 apabila mengalahkan Selangor 4-2 menerusi sepakan penalti setelah seri 1-1 dalam aksi separuh akhir di Stadium Sultan Zainal Abidin pada Sabtu.

Mana tidaknya, venue acara tahunan tersebut mempengaruhi keputusan penyokong yang mahu membuat persiapan awal dengan merancang cuti dan perbelanjaan sebelum turut sama hadir ke stadium.

Selain, venue juga penentu sama ada kelebihan tuan rumah akan menjadi milik sama ada JDT atau TFC yang sudah tentu memerlukan semangat daripada 'pemain ke-12' mereka.

Antara lokasi yang menjadi ramalan penyokong adalah Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang berkapasiti 85 000 orang.

Setakat ini, Stadium Bukit Jalil masih ditutup bagi proses baik pulih. Agensi

Selain itu, stadium yang turut menjadi sebutan adalah Stadium Darul Makmur, Pahang dan Stadium Hang Jebat, Melaka yang masing-masing mampu menampung kapisiti 40 000 orang.

Bagaimanapun, teka-teki tersebut bakal terlerai pada Selasa apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pihaknya sudah hampir mencapai kata sepakat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya kini dalam proses penilaian akhir dan kesemua persoalan akan dijawab menerusi saluran media rasmi mereka pada Selasa.

"Setakat ini memang belum ada apa-apa keputusan rasmi. Jadi saya tidak boleh mengumumkan apa-apa. Kami akan bermesyuarat esok (Selasa).

"Kami akan umumkan mengenai perkara tersebut menerusi saluran rasmi. Jadi, anda semua tunggu sahaja," katanya kepada Majoriti.

Sebagai rekod, Kedah muncul sebagai pasukan terakhir menjuarai Piala FA pada 2019 sebelum trofi tersebut 'disimpan' dua tahun akibat pandemik Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram