INDAH khabar dari rupa.
Mungkin itu perumpamaan yang terlintas dalam fikiran penyokong Sabah FC berkenaan keadaan prestasi semasa penyerang import mereka, Jose Embalo.
Sebelum menjejakkan kaki ke Sabah, Embalo dikatakan mempunyai pengalaman beraksi dalam liga di Eropah dan aspek itu diramalkan dapat membantu pasukan Sabah.
Mengikut perkhabaran tersebut, pemain berusia 29 tahun itu memperoleh satu penampilan antarabangsa mewakili Guinea-Bissau pada 23 Mac lepas.
Ketika perlawanan persahabatan menentang Equatorial Guinea, Embalo menjaringkan dua gol dalam aksi kemenangan 3-0 negara itu.
Embalo juga pernah mewakili beberapa kelab di Eropah antaranya S.C Beira-Mar di Portugal dan FC Rapid Bucuresti di Romania.
Bagaimanapun, Embalo seakan-akan gagal mempamerkan prestasi serupa apabila masih gagal menjaringkan sebarang gol dalam lima penampilannya bersama Sang Badak.
Mengulas mengenai prestasi Embalo, penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berpendapat Embalo dilihat masih belum serasi dengan pasukan Sabah.
Tangkap layar luahan kekecewaan penyokong Sabah terhadap prestasi Embalo.
"Saya rasa masalah utama Embalo adalah masih belum dapat memahami corak permainan dan belum ada chemistry bersama pemain-pemain Sabah.
"Walaupun situasi ini biasa dalam sukan, namun bagi pemain yang sudah ada nama dan pengalaman seperti Embalo tidak patut tunggu lama untuk sesuaikan diri dengan sesebuah pasukan.
"Jika ambil masa terlalu lama, ini akan menjejaskan kepercayaan jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong. Ini boleh merugikan pasukan.
"Perlawanan dalam Liga Malaysia ini tidak banyak. Pemain tidak boleh lambat menunjukkan 'taring' mereka," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Pekan turut berpendapat tindakan penyokong yang mendesak pihak pengurusan Sabah untuk 'memecat' Embalo sebagai munasabah.
"Kita faham apabila seorang pemain import dibawa masuk ketika jendela perpindahan, peminat memang tidak akan tunggu lama untuk lihat mereka menyumbangkan gol.
"Kenapa nak ambil pemain import, sekiranya tidak dapat membantu kemenangan kepada pasukan?
"Pemain import adalah satu pelaburan dan adalah lumrah bagi peminat mahu pelaburan tersebut memberikan pulangan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram