WALAUPUN Johor Darul Takzim (JDT) dilihat mempunyai kesebelasan utama yang hebat, namun kehilangan, Guilherme De Paula dalam radar bola sepak masih lagi menjadi tanda tanya peminat bola sepak.
Lebih dikenali dengan nama De Paula, pemain ini masih belum membuat sebarang penampilan sulung bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.
Kali terakhir De Paula diturunkan pada perlawanan JDT menentang Petaling City FC (PJ FC) tahun lalu di bawah kendalian Benjamin Mora sebagai pemain gantian pada minit ke-90 bagi menggantikan Bergson.
Walaupun sudah bertukar kendalian jurulatih baharu bersama Hector Bidoglio, penyokong juga nampak tidak melihat De Paula turun padang.
De Paula (dua dari kiri) menandatangani kontrak bersama JDT pada tahun 2021.— Facebook/Johorsoutherntigers
"Dah lama tak nampak kelibat De Paula, kena 'palau' dengan jurulatih baru ke," tulis Mohamad Fauzi Nin II.
"De Paula hilang tanpa dikesan, balik Brazil ke? Lama betul tak turun padang," kata Mohd Anis.
Selain JDT, De Paula juga pernah bermain dengan skuad Selangor FC, Kuala Lumpur FC dan Perak FC.
De Paula dinaturalisasikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah beraksi selama lima tahun berturut-turut dalam kancah bola sepak tempatan sejak tahun 2016.
Walaupun tidak beraksi dalam Liga Super namun nama De Paula disenaraikan untuk menyertai pasukan kebangsaan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Pemilihannya itu mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong memandangkan De Paula langsung tidak mempunyai minit permainan bersama skuad Harimau Selatan tetapi masih mendapat tempat dalam Harimau Malaya.
JDT bakal bertembung Penang FC pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram