Tuntutan Rezal buat pemain kekal rekod, Gate H Boys ada kejutan istimewa


  • Podium
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Rezal Zambery Kelantan FC yakin skuadnya mampu raih kejayaan menjelang perlawanan menentang pasukan Projek FAM-MSN. — Majoriti

BERDEPAN tugas getir untuk mempertahankan kedudukan tangga teratas Liga Perdana, Kelantan FC terlebih dahulu perlu mengatasi pasukan projek FAM-MSN menjelang perlawanan pada Jumaat.

Hanya tiga mata dipisahkan dengan pasukan di kedudukan nombor dua liga Johor Darul Ta'zim II, Kelantan FC semestinya tidak mahu berputih mata pada perlawanan seterusnya bagi mengukuhkan lagi kedudukan selaku pendahulu liga.

Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya optimis dan yakin bahawa skuadnya mampu membawa kemenangan pada Jumaat.

Mengulas lanjut berkenaan perlawanan menentang pasukan Projek FAM-MSN, beliau berpendapat bahawa setiap perlawanan perlu diberi tumpuan 100 peratus sebelum memikirkan kemenangan.

"Tiada perlawanan yang kami boleh ambil mudah, mana-mana pasukan yang kita akan temui pasti akan memberikan tentangan.

"Saya menuntut komitmen penuh daripada para pemain saya untuk kekalkan rekod baik ini dan terus mengutip tiga mata penuh Jumaat ini di halaman sendiri," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, barisan pemain mudanya telah berjaya membuktikan bahawa mereka sememangnya layak untuk bermain di kesebelasan utama dan mampu membawa kejayaan buat pasukan The Red Warrior.

"Sudah tentu tugas saya untuk memberi pendedahan kepada mereka dalam perlawanan kompetitif dan mereka juga berhak mendapat peluang bermain berdasarkan komitmen yang mereka beri.

"Ternyata, setiap pemain yang diturunkan memberi persembahan yang terbaik dan perkara ini juga bagus untuk karier mereka dan baik untuk prestasi semasa kelab," katanya.

Selain daripada kesebelasan pemain utama, sokongan padu penyokong setia The Red Warrior, Gate H Boys bakal menyuntik semangat juang tinggi skuad Rezal untuk mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga.

gate

Kelab penyokong pasukan The Red Warriors, 'Gate H Boys' dalam proses mempersiapkan tifo di Stadium Sultan Muhammad IV. — Gate H Boys

Memetik hantaran di Facebook Gate H Boys, mereka sedang mempersiapkan tifo gergasi di Stadium Sultan Muhammad IV sempena perlawanan itu.

"Untuk perlawanan petang esok (Jumaat) kami 'Gate H Boys' akan menjayakan tifo 'choreography' dan menyeru penyokong The Red Warriors semua untuk berada di Gate B bagi merealisasikan tifo demi menaikkan semangat para pemain yang akan turun menentang Skuad Projek FAM-MSN.

"Meskipun tiga mata telah memisahkan kita dengan pasukan tangga kedua, namun ia belum cukup selamat dan kami akan menjayakan tifo serta 'choreography' dengan kata-kata semangat buat Pahlawan Merah," katanya.

Kelantan FC akan menentang Skuad Projek FAM-MSN pukul 5 petang Jumaat.

Skuad Pantai Timur itu kini mengumpul 29 mata, tiga mata di depan JDT II yang menduduki tangga kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram