Makin disayangi, nama 2 'ayam tambatan' disebut-sebut peminat dan import TRW


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

TRW kekal menerajui Liga Premier dengan 29 mata daripada 12 perlawanan. — Facebook/TRW

SKUAD kendalian Rezal Zambery Yahya, Kelantan FC terus menerajui saingan Liga Perdana apabila berjaya menewaskan Kuching City FC dengan jaringan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

Kemenangan itu diperoleh hasil sepakan penalti dari penyerang, Nixon Guylherme pada masa kecederaan separuh masa pertama, sementara gol kedua pula disumbangkan dari Ikhwan Yazek pada minit ke-73.

Tidak dapat dinafikan dua pemain itu diangkat menjadi hero dalam aksi menentang skuad lawan di bawah kendalian Irfan Bakti, namun terdapat dua lagi bintang The Red Warriors (TRW) menjadi sebutan peminat tuan rumah usai perlawanan itu.

Bagi penyokong TRW, Affendy Mohamad, pemain pertahanan, Arip Amiruddin dan Muhaimin Izzuddin adalah ‘ayam tambatan’ skuad Kijang Emas pada perlawanan menentang Kuching City FC itu.

Menurutnya, Arip Amiruddin, 29, dilihat semakin menyinar meskipun sebelum ini dia sering menjadi bahan kritikan penyokong TRW sepanjang musim ini.

WhatsApp Image 2022-08-02 at 8.52.37 PM

Pemain pertahanan Kelantan FC, Arip Amiruddin. — Facebook/TRW

“Lawan Kuching City FC hari itu, Arip Amiruddin ini rajin turun naik atas bawah. Bagus dia kawal sebelah kiri. Mudah kerja Keon dan Yusri.

“Ingat lagi masa kita main di Kuala Lumpur round pertama, dia pernah jadi bahan kritikan penyokong sebab ada beberapa perlawanan itu dia tidak bagus. Tapi permainannya sekarang makin meningkat,” katanya menerusi laman penyokong, The Red Warriors Malaysia: Info Bolasepak TRW Kelantan FC Malaysia.

Dalam pada itu, bintang muda yang semakin menyinar, Muhaimin Izuddin pula mendapat pujian dari pemain import TRW, Kervens Belfort yang memuat naik respons positif terhadap pemain muda itu di InstaStory beliau.

WhatsApp Image 2022-08-02 at 8.53.31 PM

Pemain tengah Kelantan FC, Muhaimin Izuddin. — Facebook/TRW

Pada masa sama, Belfort juga percaya pemain berusia 20 tahun itu bakal menjadi pemain tengah terbaik Kelantan FC dan merupakan prospek bahagian tengah skuad Harimau Malaya satu hari nanti.

“Setakat tengok aksi dengan Kuching City, dia ada kawalan bola bagus, visi bawa bola ke depan yang baik dan positioning dia juga baik. Bagus sangat dia ini.

“Selama Belfort cedera ini, peluang baik untuk dia tunjuk kemahiran dia,” kata Affendy lagi.

Kemenangan itu menyaksikan TRW kekal selaku pendahulu Liga Premier apabila mengutip 29 mata daripada 12 perlawanan, empat mata mengatasi Johor Darul Takzim (JDT) II di tangga kedua yang memiliki kelebihan satu perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram