Masa depan Azeem cerah, bakatnya perlu terus digilap kata Faizal Azumu


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Muhammad Azeem berjaya menduduki tempat kelima dalam saingan final acara 100 meter (m) lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia. — The Star

BAKAT serta kebolehan atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi perlu terus digilap supaya dapat memberi lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, kejayaan yang dilakar Muhammad Azeem yang menduduki tempat kelima dalam saingan final acara 100 meter (m) lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia, merupakan pencapaian yang cukup mengujakan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, apa yang lebih membanggakan adalah atlet berusia 18 tahun itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan di kejohanan itu dengan catatan masa 10.09s dalam pusingan awal.

utusan

Muhammad Azeem merupakan bakat baharu yang perlu digilap untuk menyinar di masa akan datang.

Beliau juga berjaya memadam catatan masa 10.18s yang dicipta bekas jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus berusaha dan menyokong sebarang usaha meningkatkan pencapaian atlet dalam semua disiplin demi kemajuan sukan negara,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Faizal memaklumkan KBS sedang menimbangkan untuk menaik taraf trek balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi dalam sukan olahraga.

SMK Gunung Rapat merupakan sekolah kluster sukan yang telah melahirkan ramai atlet termasuk Muhammad Azeem.

"Semoga segala usaha untuk mengembangkan kemajuan dan industri sukan di negara ini mendapat sokongan semua pihak agar nama Malaysia terus harum di persada antarabangsa,” katanya.

Selepas mencipta rekod baharu kebangsaan dalam pusingan awal semalam, Muhammad Azeem turut mencapai sasaran utamanya di Cali iaitu melayakkan diri ke pusingan akhir dengan masa 10.19s, kira-kira 4.50 pagi ini waktu Malaysia. — Sinar Harian

Muhammad Azree, Harapan Negara, Malaysia