KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain tidak meletakkan skuad kendaliannya itu sebagai pasukan pilihan pada aksi separuh akhir Piala FA berdepan Selangor FC pada Sabtu.
Sebaliknya pengendali kelahiran Kelantan itu berpendapat kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mara ke final.
Katanya, walaupun Selangor dilihat sering tewas, pasukan tersebut kerap menonjolkan corak permainan cemerlang dan mendebarkan lawan.
"Prestasi Selangor sedang meningkat daripada segi permainan dan menjaringkan gol. Mereka (Selangor FC) punya kualiti daripada segi serangan.
"Lebih-lebih lagi mereka ada Herlison Caion dan banyak bahagian lain selain bahagian depan yang boleh bantu jaringkan gol. Jadi bukan senang untuk kita menang," katanya.
Kesebelasan utama TFC sewaktu aksi menentang Petaling Jaya City FC. — Facebook TFC
Ketika ditanya mengenai barisan kesebelasan utama, Nafuzi berkata, beliau akan menurunkan skuad terkuatnya memandangkan semua pemain utama telah bebas daripada masalah kecederaan dan kesihatan
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlampau teruja dan yakin dengan kemampuan pasukan sehingga terleka dan melakukan kesilapan mudah.
"Habib (Haroon) sudah pulih daripada kecederaan dan boleh beraksi, begitu juga Kpah Sherman yang sudah kembali berlatih selepas direhatkan akibat demam," katanya yang tidak menganggap aksi di laman sendiri sebagai suatu kelebihan.
Dalam pada itu, Nafuzi turut meminta peminat bola sepak Terengganu supaya hadir memberikan sokongan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu pada Sabtu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram