SELANGOR FC disifatkan sebagai 'gentleman' oleh penyokong bola tempatan apabila bukan sahaja meminjamkan pemainnya, Nik Sharif Haseefy kepada Terengganu FC, malah membenarkan pemain itu menyertai pentas Piala FA menentang pasukannya pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis, Nik Sharif mendedahkan dia memiliki dua misi iaitu bawa Terengganu ke pentas final Piala FA dan mahu buktikan sesuatu kepada Selangor FC.
Dia yang masih berstatus pemain pinjaman dari Selangor akui sangat bermotivasi menjelang perlawanan separuh akhir antara kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.
Mengakui dirinya tidak serasi dengan taktikal ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner, Nik Sharif mahu menunjukkan kemampuan sebenarnya kepada jurulatih tersebut.
Para penyokong bola tempatan merasakan tindakan Selangor FC tidak meletakkan syarat yang menyekat pemain pinjamannya untuk beraksi menentang mereka sebagai majikan sebagai satu tindakan berani.
Nik Sharif mengakui tahu 'rahsia' kekuatan pasukan Selangor FC. — Agensi
Mana tidaknya, Nik Sharif sendiri mengakui bahawa dia sudah maklum dengan kekuatan rakan-rakan di Selangor setelah menghabiskan dua musim bersama mereka.
Para penyokong turut mengaitkan tindakan Selangor FC itu dengan isu yang mana Fadhli Shas dan Syazwan Andik tidak dapat diturunkan bersama Melaka United pada aksi menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 2 Julai lalu kerana status mereka sebagai pemain pinjaman daripada JDT.
Menjadi kelaziman buat JDT apabila meminjamkan pemainnya, mereka disertakan klausa tidak boleh bermain apabila menentang skuad Harimau Selatan itu.
Ir Zul dalam satu perkongsian di Facebook berkata "Selangor gentleman sahaja, pemain pinjaman boleh main. Kalau team Zimbabwe (merujuk kepada JDT) tu, jangan harap lah mereka boleh main."
Ahmad Saufi bersetuju dengan kenyataan tersebut, "Pasukan Selangor memang terbaik kerana mereka tidak gentar dengan risiko apabila membenarkan pemain sendiri lawan mereka."
"Berstatus pinjaman tapi boleh bermain menentang pasukan yang bagi pinjaman. Ini betul-betul gentleman," kata Armin Nas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram