PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sering menjadi tumpuan apabila turun beraksi di atas padang.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah bukan sahaja lincah menggelecek bola, tetapi turut berkemahiran bermain ragbi.
Aksi itu ditunjukkan ketika beliau turut dalam perlawanan antara Team Pilihan MB dan KMRC Legends yang berlangsung di Padang IPG Kampus Sultan Abdul Halim (IPSAH) Sungai Petani, Kedah pada 31 Julai lalu.
Menerusi beberapa keping gambar yang dikongsi jurufoto Arena HijauKuning, Khairil Ajhar Jaafar, Muhammad Sanusi dilihat begitu ligat mengasak pemain lain ketika bermain sukan ragbi itu.
Bahkan aksinya menangkap bola hingga jatuh tergolek sempat dirakam jurugambar berkenaan.
Gambar tersebut kemudian menjadi bahan jenaka laman Facebook TROLL Football JOHOR.
Jawapan balas Muhammad Sanusi terhadap troll yang dibuat Facebook TROLL Football JOHOR. — Facebook
"Lihat anak panah. Dah elok-elok main bola, sibuk nak main ragbi. Dahlah team bola terceduk, dia main ragbi terceduk.
"Risau admin jadi apa-apa nanti. Pilihan Raya Umum dah nak dekat. Kita tak nak kehilangan bahan hiburan di masa lapang," katanya dalam satu hantaran pada Selasa lepas.
Muhammad Sanusi akhirnya membuka mulut membalas posting itu di Facebook rasmi miliknya pada Jumaat.
Menurutnya, memang menjadi lumrah jika terjatuh atau tercedera ketika beraksi di atas padang.
"Sagat muka, berdeghemen (cedera), lebam, luka tu perkara biasa bila bergomol di padang.
"Takat dok troll kat Facebook ni, peluh pun tak keluaq (keluar). Silap-silap jiwa admin jadi koyak. Dok tengok komen, macam kena kenduri sakan.
"Kita pelit, depa (mereka) yang koyak. Apa habaq (khabar) admin? Makan ubat dak lagi?," perlinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram