SOKONGAN daripada peminat sangat diperlukan bagi memastikan sesebuah pasukan lebih bersemangat ketika beraksi di padang, selain lebih tabah ketika berdepan dengan isu dalaman.
Ini termasuk masalah berkaitan kewangan, tunggakan gaji, pengurusan serta isu melibatkan hal peribadi.
Antara yang tampil memberi sokongan kepada pasukan kesayangan, iaitu Terengganu FC (TFC) adalah anak watan negeri Terengganu itu sendiri.
Iwan Halim menerusi hantaran di laman Facebook berkata, bangun rebah bola sepak di Terengganu banyak bergantung kepada keterlibatan pihak pengurusan dan pasukan jurulatih.
Pemerhati sukan itu berkata, tonggak kejayaan sesebuah pasukan terletak atas bahu individu yang memikul tanggungjawab mengurus mengikut sistem dinamik dan progresif.
"Selagi kita tidak ada prinsip tegas dan mekanisme luar biasa, nasib bola sepak kita tak ubah seperti ombak sentiasa berada dalam kancah bangun rebah.
"Kita menang bukan hebat cara bermain, kita kalah kerana pemain tak ada skill (kemahiran) dalam banyak aspek teknik dan taktik bermain," katanya.
Penyokong menegaskan bahawa, kekalahan sesebuah pasukan disebabkan pemain tiada kemahiran dalam banyak aspek teknik dan taktik bermain. — Gambar hiasan/TFC
Jelasnya, pihak pengurusan pasukan itu seharusnya boleh membuat penilaian profesional kepada jurulatih berdasarkan kepada banyak fakta, manakala sikap pilih kasih tidak memberi sebarang faedah.
Katanya, sekiranya seseorang jurulatih sudah diberi peluang selama tiga musim, namun tiada sebarang kejayaan diraih oleh pasukan tersebut, maka tindakan tegas perlu diambil.
Sebagai tindakan wajar, katanya, jurulatih tersebut perlu dilucut jawatan serta pihak pengurusan perlu mendapatkan pengganti yang lebih bertenaga.
"Buka mata, pasang telinga dan tegas menjadi rempah ratus kepada pengurusan yang dinamik.
"Apa pun saya harap kita fokus kepada game (perlawanan) penting Sabtu ini (6 Ogos) di antara TFC melayan kunjungan Selangor separuh akhir Piala FA dan tidak lupa juga kita kepada saingan saki baki Liga Super dan Piala Malaysia akan datang," katanya.
Pada Sabtu, TFC bakal berdepan dengan Selangor FC dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu.
Terengganu kini berada di tangga kelima dalam saingan Liga Super, meraih lima kemenangan daripada 12 perlawanan serta berjaya mengutip 17 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram