KEMASUKAN Datuk Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih Sri Pahang FC bagi menggantikan Christophe Gamel nampaknya memberikan impak yang positif buat pasukan.
Mencatat dua kemenangan selepas tewas tiga kali dalam saingan Liga Super, penyokong kini mula menaruh harapan buat Dollah.
Selain harapan tinggi yang diletak kepada Dollah, penyokong juga sudah mula meminta pihak pengurusan pasukan untuk merencana pasukan terbaik musim depan.
Satu daripada pemintaannya adalah untuk mengekalkan lima pemain import dalam pasukan yang kini sudah dianggap bermain dengan cukup baik.
Kevin Ingreso menunjukkan prestasi yang cemerlang bersama Sri Pahang. — Facebook/Sri Pahang FC
Penyokong Sri Pahang, Sobri Nadzari berkata, lima pemain import sedia ada iaitu Kevin Ingreso, Mamadou Samassa, M. Hidalgo dan Sherzod Fayziev sudah mula mempunyai DNA skuad Tok Gajah.
"Bagi mereka kekal sekurang-kurangnya dua musim lagi. Tak perlu risau berkenaan kuota kerana musim depan boleh tambah empat lagi pemain import," katanya.
Namun bagi Titi Rodriguez yang masih lagi berstatus pemain pinjaman selama setengah musim sahaja, Sobri berkata pihak pengurusan perlu melakukan sesuatu untuk memilik pemain itu.
Jelasnya, berdasarkan tiga perlawanan sebelum ini, persembahan Rodriguez boleh dikatakan semakin meningkat dan sudah mula mempunyai persefahaman yang baik dengan pasukan.
Titi Rodroguez turut mendapat pujian daripada Dollah Salleh. — Facebook/Sri Pahang FC
"Pengurusan tolonglah fikir cara untuk ikat dia bersama Sri Pahang. Buat tawaran pada team asalnya," katanya.
Menurut Sobri lagi, mengekalkan lima pemain import ini adalah penting kerana pasukan sudah memiliki persefahaman yang baik.
"Kalau tukar dan rombak lagi, jurulatih dan pasukan kena cari kesefahaman sembilan pemain import. Nak beri lima pemain import selesa bermain bersama pun dah huru-hara, inikan pula sembilan pemain import," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram