BUKAN untuk menuding jari, namun segelintir penyokong Kedah Darul Aman (KDA FC) menyifatkan kegagalan skuad Hijau Kuning pada Liga Super adalah disebabkan ingin memberi fokus sepenuhnya untuk saingan separuh akhir Zon Asean Piala AFC.
Selepas tewas 0-2 di tangan Sri Pahang FC pada Isnin lalu, Kedah berada pada tangga keenam carta Liga Super dengan mengutip 17 mata melalui 13 perlawanan setakat ini.
Bagi sesetengah penyokong skuad Lang Merah, jika betul percaturan mengabaikan Liga Super itu adalah rancangan Kedah, ia adalah tindakan yang kurang bijak kerana perkara itu hanya memburukkan prestasi pasukan Hijau Kuning pada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Antara aksi perlawanan menentang Sri Pahang FC. — Facebook KDA FC
Namun demikian, seorang penyokong Hijau Kuning, Nicolo Polo tampil memberikan pandangan positifnya mengeni isu itu dan dia menyifatkan fokus Kedah terhadap Piala AFC lebih memberi manfaat daripada cemerlang di Liga Super.
Berikut merupakan lima manfaat yang bakal diperoleh Kedah jika benar lebih memberi fokus terhadap saingan Piala AFC daripada Liga Super:
1) Pusingan kalah mati.
Pada saingan separuh akhir Piala AFC, Kedah hanya perlu bermati-matian untuk pusingan kali mati sahaja berbanding Liga Super yang perlu bertandang di laman lain dan bermain di stadium sendiri.
Malah persaingan untuk mendapatkan kedudukan teratas pada Liga Super juga agak mustahil dengan saingan dari skuad Johor Darul Takzim (JDT) dan pasukan meningkat naik, Sabah FC.
Bayangkan sahaja, Kedah yang menduduki tangga keenam ketinggalan 18 mata untuk menyamakan kedudukan bersama skuad Harimau Selatan.
2) Piala AFC menyumbangkan mata AFC MA Ranking Malaysia.
Kejayaan KDA FC menjadi juara Kumpulan G di Bali, Indonesia berjaya melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC dan sekaligus menaikkan mata Malaysia bagi ranking pertandingan kelab AFC.
Kejayaan Kedah bersama Kuala Lumpur (KL) City FC itu berjaya mengharumkan nama negara malah menaikkan profil Liga Malaysia di peringkat antarabangsa.
Hasil kejayaan JDT pada saingan ACL dan kemenangan yang diraih Kedah serta KL City FC berjaya menaikkan kedudukan Liga Malaysia berada tangga keempat manakala pada 2021, negara hanya di tempat kesembilan.
Pemain Kedah meraikan kejayaan menumpaskan Kaya FC dalam aksi Piala AFC di Bali, Indonesia. — Facebook KDA FC
3) Kemenangan AFC memudahkan untuk Kedah memasuki lagi kejohanan itu.
Menurut penyokong itu, jika Kedah berjaya menjulang Piala AFC nanti, ia merupakan jalan pintas untuk menembusi kejohanan itu pada musim hadapan.
Jika kelab lain bersusah payah mendapatkan kedudukan dua teratas untuk melayakkan diri ke peringkat AFC, Kedah hanya perlu menang bagi berpeluang mendapatkan tiket bonus dalam kejohanan itu.
"Kalau Kedah menang Piala AFC,tahun depan boleh layak AFC lagi tidak perlu bersusah payah nak jadi dua teratas Liga Super," kata penyokong itu.
4) Hadiah juara Piala AFC lebih berbaloi.
Difahamkan jika dahulu JDT muncul juara Piala AFC 2015, mereka menerima hadiah kemenangan sebanyak USD350,000 (RM1.5 juta), namun format Kedah Darul Aman dan Kuala Lumpur (KL City FC) berbeza.
Kedah dijangkakan akan menerima habuan sekiranya menjadi juara zon Asean.
Mahmoud Al-Mardi dari Kedah menjaringkan hatrik ketika menentang Visakha FC di Bali. — Facebook KDA FC
Juara zon bakal menerima USD100,000 (RM440,000) dan inilah yang bakal diterima jika Kedah atau KL City mara ke final dan menjuarai saingan zon Asean.
Ini tidak termasuk subsidi perjalanan yang disediakan dan difahamkan pentas akhir Piala AFC yang sebenarnya yang menawarkan hadiah USD1.5 juta (RM6.6 juta).
5) Peluang pemain tempatan berhijrah ke kelab luar.
Bermain di peringkat kempen Piala AFC adalah peluang keemasan buat pemain tempatan dipantau oleh kelab luar negara.
Oleh itu, jika pemain Kedah perlu beraksi dengan cemerlang pada kejohanan antarabangsa itu bagi menarik minat dari kelab di Indonesia dan Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram