'Saya dah bantai lagi sekali,' fokus Irfan Bakti mahu kacau JDT II


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Pemain Kuching City berang kerana tindakan Karama itu menyebabkan mereka terpaksa bermain dengan 10 orang pemain sahaja.

ISU percakaran melibatkan pemain Kuching City FC pada aksi saingan Liga Perdana menentang pasukan Kelantan, Ahad lalu telah selesai.

Pada aksi di Stadium Sultan Mohammad IV tersebut, pemain import Kuching City, Abu Kamara 'koyak' selepas pasukan Kelantan diberikan sepakan penalti.

Pemain barisan tengah tersebut dilihat cuba berperang mulut dengan pengadil perlawanan, Almi Abdullah sehingga menyebabkannya dilayangkan kad kuning.

Sebelum kejadian menjadi keruh, dua pemain Kuching City, Aliff Hassan dan Shreen Anak segera bertindak meleraikan pertelingkahan tersebut.

Bagaimanapun, proses peleraian itu memakan masa kerana Kamara enggan beralah sehingga berlaku drama sesama mereka di tepi padang sebelum Kamara dilihat meninggalkan padang.

Sikap Kamara itu dianggap merugikan kerana pasukan Kuching FC terpaksa bermain dengan 10 pemain sahaja sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan skuad itu tewas 0-2.

Tangkap layar insiden perang mulut antara Kamara dan pengadil perlawanan.

Mengulas insiden tersebut, Ketua Jurulatih Kuching FC, Irfan Bakti berkata pemain-pemainnya telah 'dibasuh' habis-habisan pada malam perlawanan itu, sebelum sekali lagi 'dibantai' ketika latihan pada Selasa.

"Tak ada isu besar pun sebenarnya. Itu semua salah faham sahaja. Kamara terlalu terbawa-bawa dengan herdikan penonton tuan rumah Kelantan sehingga lakukan tindakan kurang cerdik yang merugikan pasukan.

"Saya dah tegur semua pemain saya pada malam selepas perlawanan. Semalam (Selasa) pun saya bantai mereka habis-habisan agar perkara sama tidak berulang pada perlawanan seterusnya," katanya kepada Majoriti.

Bakal menentang Johor Darul Takzim II (JDT II) pada Selasa depan, Irfan mahu menebus semula dua kekalahan memalukan pada dua perlawanan terdahulu.

Akui ujian berat menanti barisan pemainnya, Irfan mahu pemainnya fokus dengan misi mengumpul tiga mata dan bukan tiga kekalahan hatrik.

"Kali ini, kami akan bermain di laman sendiri, jadi kami akan manfaatkan peluang itu. Dah lama kami main away, kali ini pasti berbeza.

"Kami sudah kalah dua kali berturut-turut. Jadi, fokus kami sekarang adalah mendapatkan tiga mata," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram