KEHADIRAN bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan di Stadium Sultan Muhammed IV bagi menonton aksi Liga Premier antara Kelantan FC dan Kuching FC pada Ahad menimbulkan spekulasi dalam kalangan penyokong The Red Warriors.
Rata-rata penyokong menghidu potensi kerjasama antara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dan Bibi yang diramalkan akan memantapkan lagi kekuatan kelab tersebut.
Menurut pemerhati sukan TRW, Zuraimi Zukri, kehadiran Bibi membuat pelaburan pada kelab tersebut dialu-alukan walaupun dalam skala minoriti tanpa kuasa.
"Dia orang berduit dan boleh beli syer saham pasukan ini. Terutamanya sebahagian dari 30 peratus yang ditawarkan oleh kelab.
"Kak Bi juga berhak menjadi penyokong pasukan bola sepak Kelantan, ini bekas pasukan yang pernah dia cuba selamatkan dengan caranya," katanya.
Bibi (kiri) bersama Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah. — Agensi
Bagaimanapun, harapan penyokong TRW lebur apabila Norizam menepis dakwaan bahawa dia akan bekerjasama dengan Bibi dengan pecahan saham sebanyak 70 peratus dan 30 peratus seperti yang dicanang di media sosial.
"Tak benar. Khabar angin sahaja semua itu. Saya hanya menjemput Bibi ke perlawanan sebagai penghargaan kepada orang-orang yang pernah berjasa dengan bola sepak Kelantan.
"Tidak lebih dari itu," katanya kepada Majoriti.
Sebagai rekod, Bibi mula menerajui Kafa sejak 18 September 2017, namun gagal membawa perubahan terhadap pasukan itu.
Bibi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Kafa pada 18 Jun 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram