Isu jadual padat, MFL sudah 'update' ke TFC, Selangor FC


  • Podium
  • Isnin, 25 Jul 2022

Stuart mengesahkan bahawa Terengganu dan Selangor telah dimaklumkan tentang perubahan jadual. — Bernama

SEKALI lagi, susunan jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dikritik dan disifatkan sebagai tidak 'berperikemanusiaan'.

Penyokong tegar Terengganu Football Club (TFC), Piang Shankly, berpendapat bahawa pihak MFL tidak adil dalam menyusun perlawanan apabila meletakkan tujuh perlawanan berturut-turut dalam masa 21 hari buat skuad Sang Penyu.

Susunan jadual yang padat dan tidak masuk akal itu dikatakan mampu mensabotaj prestasi skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain, sekali gus menurunkan lagi potensi mereka dalam saingan Liga M.

"Gila MFL ni buat jadual. Perlu tangguh beberapa perlawanan dulu kat tengah-tengah. Sekurang-kurangnya pada 4 Ogos itu kena tukar tarikh lain.

"Janganlah 'sabotaj' pemain macam ni. Buat jadual tu, ingat sikit kat para pemain. Paling penting, biar adil untuk semua pasukan," katanya menerusi akaun Facebook.

Mengulas isu terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya telah mengosongkan perlawanan pada tarikh 4 Ogos tersebut.

Ini bermaksud, perlawanan Liga Super di antara Terengganu dan Pahang di Stadium Darul Makmur, Pahang serta perlawanan antara Selangor FC dan PJ City di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya ditangguh dahulu.

Tangkap layar kritikan penyokong terhadap susunan jadual MFL. Majoriti

Penangguhan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pasukan untuk tampil pada saingan separuh akhir Piala FA yang dijangka diadakan pada 5, 6 atau 7 Ogos nanti.

"Terdapat kesilapan dalam dakwaan tersebut. Tidak ada sebarang perlawanan pada 4 Ogos nanti. Pihak kami telah memberitahu secara terperinci tentang perubahan jadual kepada Selangor FC dan Terengganu FC. Mereka sudah sedia maklum," jelasnya kepada Majoriti.

Sebagai rekod, jadual asal seperti yang dipaparkan menerusi ruang internet menyaksikan TFC terpaksa mengharungi tujuh perlawanan berturut-turut dalam masa 21 hari dengan lima perlawanan pada dua minggu pertama bulan Ogos.

Jadual asal tersebut secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pasukan Selangor yang dijadualkan akan mengharungi lima perlawanan dalam tempoh yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram