Arif Aiman bakal disambar kelab Jepun?


  • Podium
  • Sabtu, 23 Jul 2022

Pemain muda JDT itu sebelum ini mendapat perhatian ramai pemerhati bakat dari Sepanyol. — Facebook/Johor Southern Tigers

AKSI cemerlang Arif Aiman Hanapi dalam skuad Harimau Malaya memang tidak dapat dinafikan malah dianggap sebagai 'key player' dalam pasukan kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Asia tempoh hari.

Disebabkan aksi menariknya juga yang membuatkan bintang muda sensasi skuad Johor Darul Takzim (JDT) sentiasa menjadi tumpuan pemerhati bakat (scout).

Malah, sebelum ini dilaporkan pemain yang berusia 20 tahun itu dipercayai menarik minat sekurang-kurangnya 15 pemerhati bakat (scout) yang berpangkalan di Sepanyol.

1615353

Arif Aiman memainkan peranan penting bersama skuad Harimau Malaya. — Agensi

Terbaharu, Arif Aiman dikatakan bakal disunting oleh satu kelab yang beraksi di liga J1, Shimizu S-Pulse.

Tambah menarik, perpindahan itu dikatakan akan dibuat tanpa sebarang pemilihan seperti pemain Asia Tenggara yang lain, lagi-lagi kontrak Arif Aiman bersama JDT difahamkan akan berakhir November depan.

Arif Aiman juga berjaya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia dan membantu pasukannya, JDT melangkah ke pusingan kalah mati dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2022 (ACL)

Konsistensi dalam setiap perlawanan yang ditampilkan pemain berusia 20 tahun ini pastinya menjadi sebab utama dia berada dalam radar beberapa ejen yang berpangkalan di luar negara.

293829173_472005251595713_3711628912285234645_n

Kesebelasan utama skuad Shimizu S-Pulse. — Facebook/Shimizu S-Pulse

Namun, ada juga yang mengatakan usaha kelab dari Jepun itu mengambil pemain dari Asia Tenggara adalah untuk mempromosikan Liga Jepun 1 (J1).

Ini kerana, perkara sama sudah dilakukan kelab Cansadole Sapporo yang baru sahaja menandatangani prospek muda Thailand, Supachok Sarachat.

Namun, jika dilihat kepada prestasi pasukan tersebut, nampak gayanya ada baiknya Arif Aiman kekal sahaja bersama JDT.

Ini kerana, Shimizu S Pulse kini berada di tangga kedua tercorot daripada 18 pasukan yang beraksi dalam liga J1.

Malah, jika Arif Aiman pergi ke sana pun, belum pasti lagi dia dapat beraksi dalam kesebelasan utama pasukan, sekali gus dibimbangi akan menjejaskan minit perlawanannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram