KEDAH Darul Aman (KDA) FC akhirnya menunaikan janji untuk mencipta kemenangan pertama Liga Super apabila menundukkan Sarawak United dengan keputusan 3-1.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau 94 hari gagal mengutip tiga mata penuh selepas kali terakhir melakukannya pada 17 April 2022 ketika menewaskan Penang FC 2-1 di tempat lawan.
Namun Kedah gagal menghapuskan badi bolos apabila jaring mereka bocor buat kali ke-20 dalam saingan Liga Super, pasukan kedua paling banyak bolos walaupun menduduki kelompok lima kelab teratas.
Untuk rekod, gawang Kedah hanya dua kali tidak dibolosi ketika menang tipis 1-0 masing-masing ke atas Sarawak United dan Sri Pahang FC.
Selepas kalah dua kali kepada Terengganu FC dalam saingan Piala FA dan Liga Super, pertahanan Kedah, Rodney Celvin Akwensivie, mengakui, moral pasukan buat masa ini sedikit terjejas selepas meraih beberapa keputusan yang kurang memberangsangkan, sehingga meletakkan mereka kini berada di tangga ketujuh liga.
Justeru, hanya kemenangan ke atas Sarawak United sahaja boleh menjadi pemulih semangat buat Kedah bagi bangkit dan terus berikan saingan di kelompok atasan.
Beraksi di depan penyokong sendiri buat kali pertama selepas kali terakhir pada 17 Mei, anak buah Aidil Sharin Sahak menampilkan aksi lebih bertenaga sejak seawal wisel dibunyikan.
Aidil juga melakukan sedikit rombakan berbanding perlawanan lalu ketika tewas kepada Terengganu apabila meletakkan Fayadh Zulkilfli dalam kesebelasan utama dan merehatkan kapten, Syazwan Zainon.
Selain itu, Aidil juga merehatkan Asnan Ahmad yang digantikan Muhammad Al Hafiz untuk menambahkan sengat di bahagian sayap Sang Kenari.
Pemain Kedah meraikan jaringan Al Mardi pada minit kesembilan. — KDA FC
Percaturan ini tampaknya menjadi apabila Kedah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi bintang import baharu mereka, Mahmoud Al- Mardi yang bijak menyudahkan hantaran lintang Fayadh.
Kedah lebih banyak menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dengan melakukan hantaran pendek dan kemas tetapi taktikal penyerang solo yang digalas Ronald Ngah Wanja ternyata menyukarkan Sang Kenari membolosi benteng pertahanan Sarawak United.
Skuad Bujang Senang yang dikemudi jurulatih baharu, S Balachandran tidak banyak menggugat gawang Kedah walaupun sekali sekala cuba melancarkan serangan balas menerusi Francis Kone.
Bersambung babak kedua, Kedah cuba memburu gol kedua tapi gagal memberikan penyudah terbaik, sebaliknya Sarawak United menghukum benteng Sang Kenari menerusi serangan balas dan terhasil gol penyamaan yang disumbangkan Uche Agba pada minit ke-52.
Uche Agba (kanan) menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-52. — KDA FC
Kedah sekali lagi mendahului perlawanan menerusi jaringan Ronald Ngah pada minit ke-75 apabila percubaannya dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Sarawak United, Tauffiq Ar Rashid yang sebelum itu cemerlang menafikan beberapa serangan skuad Hijau Kuning.
Al Mardi kemudiannya sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-80 apabila menjaringkan gol cantik dari jarak jauh hasil daripada taktikal sepakan penjuru yang pantas diambil sebelum pemain kelahiran Jordan itu melepaskan tendangan yang melangkaui Tauffiq.
Kemenangan Kedah pada Selasa melonjakkan kedudukan ke tangga keempat liga dengan 17 mata selepas 11 perlawanan manakala Sarawak di tangga ke 10 dengan mengutip 10 mata selepas 12 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram