PENYOKONG bola sepak Kelantan FC menggesa pemilik kelab tersebut, Norizam Tukiman untuk menarik semula perniagaan dan pelaburannya di Indonesia.
Permintaan itu dibuat rentetan daripada tularnya sebuah video yang mendakwa berlakunya insiden keganasan terhadap perniagaan hotel yang dijalankan Norizam di Riau, Indonesia.
Terdahulu, seorang individu menggunakan nama As Tuken mendakwa, terdapat rancangan jahat untuk mengganggu perniagaan Norizam di Bali dan kawasan lain di negara jiran itu.
Tambah As Tuken, Norizam dikehendaki memohon maaf secara terbuka ekoran tindakannya membatalkan perlawanan persahabatan antara Kelantan FC dan PSPS Riau pada saat-saat akhir.
Rata-rata penyokong tempatan meluahkan rasa kesal dengan sikap tidak kenang budi penyokong bola sepak Indonesia yang sanggup bertindak ganas hanya kerana sebuah perlawanan dibatalkan.
Mana tidaknya, Norizam telah membantu melunaskan tunggakan gaji 20 orang pemain PSPS Riau sejak musim 2018 sekali gus menggugurkan hukuman yang dikenakan oleh Dewan Penyelesaian Pertikaian Kebangsaan Indonesia ke atas mereka.
Tangkap layar sekumpulan lelaki melakukan perbuatan khianat dengan membaling objek keras ke arah sebuah bangunan dipercayai premis perniagaan Norizam di Riau.—Facebook
Seorang pemilik Facebook yang menggunakan nama Merah Hitam memohon usahawan dan pakar pelaburan tersebut untuk fokus pada arena bola tempatan sahaja.
"Fokus di Malaysia sudahlah boszam (Norizam). Di Indonesia memang susah. Warga Indonesia selalu menyusahkan Malaysia. Betul-betul tak boleh bawa berbincang.
"Saya syor jual semua hotel-hotel dan kelab bola Riau itu. Dahlah penyokong terlampau ganas. Polis Indonesia sendiri minta duit. Nampak sangat orang negara itu tidak ikhlas," jelasnya.
Mohd Azwan pula mengaitkan insiden tersebut dengan budaya masyarakat setempat dan menyarankan Norizam supaya membuat pilihan yang selamat terutama buat pemain The Red Warriors.
"Saya dah agak mesti berlaku hal yang macam ini. Sistem dan budaya orang sana bukan seperti kita di Malaysia. Jika bendera Malaysia, mereka boleh bakar. Kenapa tidak orang kita?
"Kita harap boszam akan tarik semula hasrat beli kelab dari Indonesia. Walaupun rugi ia tetap baik untuk keselamatan," jelasnya.
Terdahulu, perlawanan persahabatan di antara Kelantan FC dan skuad PSPS Riau terpaksa dibatalkan ekoran keengganan Norizam sebagai pemilik kedua-dua kelab tersebut itu membayar sejumlah wang kepada polis di Pekan Baru.
Kelantan FC dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, polis di Pekan Baru, Riau, meminta wang sebanyak 40,000,000 rupiah (RM 11,826.75) kira-kira sejam sebelum sepak mula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram