Enggan bayar polis Riau, Norizam diugut, bisnes di Indonesia jadi sasaran perbuatan khianat


  • Podium
  • Rabu, 13 Jul 2022

Tangkap layar sekumpulan lelaki melakukan perbuatan khianat dengan membaling objek keras ke arah sebuah bangunan dipercayai premis perniagaan Norizam di Riau.

RENTETAN daripada pembatalan perlawanan persahabatan di antara Kelantan FC dan skuad PSPS Riau ekoran keengganan pemilik skuad The Red Warriors (TRW) itu membayar sejumlah wang kepada polis di Pekan Baru telah mengakibatkan Norizam Tukiman menerima ugutan daripada sebahagian penyokong fanatik.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu, seorang individu menggunakan nama As Tuken mendakwa berlakunya insiden keganasan terhadap perniagaan hotel yang dijalankan Norizam atau Zamsaham di Riau, Indonesia.

Bahkan dia mendakwa, terdapat rancangan jahat untuk mengganggu perniagaan Norizam di Bali dan kawasan lain di negara jiran itu.

"Keganasan berterusan sehingga termeterainya setiap percubaan Norizam Tukiman di Riau.

"Dan perniagaan hotel di Bali juga akan menjadi sasaran, ia disahkan wakil di Bali dan semua perniagaan Norizam di Indonesia juga terpalit," katanya.

UGUTAN ZAMSAHAM 2

Tangkap layar satu dakwaan ugutan yang diterima Norizam. — Facebook

As Tuken berkata, Norizam dikehendaki memohon maaf secara terbuka ekoran tindakannya yang membatalkan perlawanan tersebut pada saat-saat akhir.

"Minta maaf secara terbuka atau segala usaha Norizam di Indonesia akan menghadapi tragedi yang sama," katanya mengenai perlawanan dua pasukan milik Norizam ini.

Dalam pada itu, As Tuken turut memuat naik video menunjukkan sekumpulan lelaki melakukan perbuatan khianat dengan membaling objek keras ke arah sebuah bangunan dipercayai premis perniagaan Norizam di Riau.

Rakaman berdurasi 13 saat itu menunjukkan lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan membonceng motosikal.

Rakaman kejadian keganasan yang dipercayai dilakukan penyokong bola sepak Indonesia terhadap premis perniagaan Norizam. — Facebook

Kelantan FC dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, polis di Pekan Baru, Riau, meminta wang sebanyak 40,000,000 rupiah (RM 11,826.75) kira-kira sejam sebelum sepak mula sekali gus memaksa Norizam membatalkan perlawanan itu.

Difahamkan, duit berkenaan adalah sebagai yuran bagi menjaga keamanan sepanjang perlawanan berlangsung dan pihak polis Pekan Baru mendesak untuk mendapatkan wang itu daripada pasukan PSPS Riau.

Pada masa sama, Norizam turut berjanji akan memulangkan semula duit tiket penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram