Rodney akui ada pemain jatuh semangat tapi mahu bangkit


  • Podium
  • Isnin, 18 Jul 2022

Rodney (tengah) mengakui, moral Kedah buat masa ini sedikit terjejas selepas meraih beberapa keputusan yang kurang memberangsangkan. — MFL

LIMA perlawanan tanpa sebarang kemenangan di pentas Liga Super sememangnya memeritkan buat Kedah Darul Aman (KDA) FC, namun mereka berazam mahu segera bangkit apabila berdepan Sarawak United FC di Stadium Darul Aman, di Alor Setar, Kedah pada Selasa.

Pertahanan Kedah, Rodney Celvin Akwensivie, mengakui, moral pasukan buat masa ini sedikit terjejas selepas meraih beberapa keputusan yang kurang memberangsangkan, sehingga meletakkan mereka kini berada di tangga ketujuh liga.

Justeru, hanya kemenangan ke atas Sarawak United sahaja boleh menjadi pemulih semangat buat Kedah bagi bangkit dan terus berikan saingan di kelompok atasan.

"Memang ramai antara kami, sedikit jatuh daripada segi semangat apabila gagal menang dalam perlawanan terakhir dan harap kami boleh meraih tiga mata pada esok.

"Ditambah bermain di laman sendiri, saya harap kami akan tampil lebih bersemangat dan mampu tamatkan kemarau kemenangan.

"Namun, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan Sarawak yang kini di bawah jurulatih baharu (S. Balachandran) dan mereka sudah pasti ada cara permainan tersendiri.

"Jika leka dan banyak berikan ruang kepada mereka, saya rasa kami boleh dihukum kerana Sarawak juga dalam posisi mahukan kemenangan bagi menjauhi zon penyingkiran," katanya seperti dilapor MFL.

Kali terakhir Kedah menang di saingan Liga Super adalah ketika menewaskan Penang FC, 2-1 di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang pada 17 April.

Selepas itu, mereka sekadar seri dua kali dan tewas tiga kali dengan kekalahan terbesar dialami semasa bertemu Sabah, 4-0 pada 24 April di Stadium Likas, dekat Kota Kinabalu, Sabah.

Rodney musim ini sering kali menjadi pilihan di posisi pertahanan tengah dan kini banyak digandingkan dengan Mohd Akmal Md Zahir, berikutan ketiadaan Marc Vales yang terpaksa berehat panjang ekoran kecederaan.

Menurut pemain berusia 26 tahun berkenaan, dia senang bekerjasama dengan Akmal yang dilihat banyak berikan kestabilan di bahagian pertahanan.

"Walaupun dia datang menjelang Piala AFC dan masa tidak banyak untuk kami memahami corak permainan antara satu sama lain, itu bukan satu masalah.

"Kualiti yang ada pada Akmal sangat baik dan saya sangat selesa bekerja dengannya di dalam padang.

"Harap saya dan Akmal mampu terus digandingkan dalam perlawanan akan datang dan secara perlahan-lahan kombinasi antara kami semakin baik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram