'Takkanlah jurulatih bola sepak tubuhnya macam jurulatih catur'


  • Podium
  • Isnin, 18 Jul 2022

Tiga jurulatih yang menjadi perhatian laman troll Pahang is Dead 2.0 berkenaan tahap kecergasan mereka. — Facebook

PENAMPILAN jurulatih bola sepak tempatan yang boroi dan tidak menjaga penampilan menjadi perdebatan di media sosial.

Ini selepas ada yang laman troll bola sepak Pahang is Dead 2.0 yang membuat perbandingan fizikal antara jurulatih Johor Darul Takzim (JDT) dengan pengendali skuad Kedah dan Selangor.

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli menyifatkan fizikal jurulatih yang fit atau cergas hanya salah satu karakteristik daripada pelbagai atribut lain yang menyumbang kejayaan kepada sesuatu pasukan itu.

"Kita perlu melihat isu ini secara lebih komprehensif atau secara holistik.

"Memang diakui jurulatih yang fit, cergas, perut tak boroi, boleh berlari dan cantik tubuh badannya serta boleh melakukan senaman bersama pemain sudah pasti dapat meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pemain.

"Pemain juga lebih hormat terhadap kemampuan jurulatih itu terutama dalam sukan-sukan berprestasi tinggi.

"Orang kata 'leading by example' itu satu kekuatan dan boleh menjadi kelebihan kepada seseorang jurulatih," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, Pekan berkata, penampilan fizikal tersebut bukanlah satu ukuran atau tidak menjadi benchmark bagi menentukan faktor kejayaan sesebuah pasukan.

"Kita perlu akui jurulatih yang hebat biasanya adalah bekas-bekas pemain yang sudah lama tidak aktif dan mereka tidak lagi meneruskan latihan secara progresif dan kurang menjaga fizikal badan.

"Namun kita tidak boleh ketepikan mereka ini kerana yang apa paling berharga adalah pengalaman, kekayaan ilmu serta resipi kejayaan mereka," katanya.

Begitupun, Pekan berkata, ia tidak bermakna jurulatih bola sepak itu mesti seseorang yang betul-betul cergas kerana tugas itu kini dilakukan oleh jurulatih kecergasan yang khusus.

"Apapun menangani persepsi itu juga sangat penting... takkanlah jurulatih bola sepak itu tubuhnya seperti seorang jurulatih angkat berat atau jurulatih catur," ujarnya.

Katanya, ia penting untuk jurulatih itu menjadi role model atau mentor kepada pemain supaya mereka menganggap kepentingan menjaga badan sebagai cabaran untuk stay fit sepertimana jurulatih masing-masing.

"Dalam sesetengah perkara tidaklah jurulatih itu dikatakan 'pandai cakap sahaja'," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram