'Elak insiden berulang,' Sabah FC tagih disiplin penyokong


  • Podium
  • Ahad, 17 Jul 2022

Tangkap layar yang menunjukkan penyokong Sabah bertindak di luar kawalan dalam perlawanan JDT menentang Sabah FC. — TikTok

PERLAWANAN Liga Super antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Sabah FC di Stadium Likas pada Jumaat lalu dicemari dengan insiden provokasi yang menyaksikan penyokong skuad Sang Badak membaling botol dan melemparkan kata-kata kesat selepas tamat perlawanan.

Tindakan pengadil Mohd Fusser Mad Sallih memberikan sepakan percuma kepada JDT di luar kotak penalti Sabah pada pada saat-saat akhir masa kecederaan telah mengundang rasa marah dan tidak puas hati pada penyokong sehingga bertindak di luar kawalan.

Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir meminta penyokong agar lebih berdisiplin pada masa akan datang kerana tindakan berbaur provokasi seperti yang terjadi pada malam perlawanan Sabah - JDT boleh menyebabkan pasukan menerima akibat termasuk didenda oleh Malaysian Football League (MFL).

"Kalau boleh tolong bagi sokongan dengan semangat kesukanan yang tinggi. Cuba elakkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada pasukan.

"Apabila berlakunya insiden seperti ini boleh menyebabkan Sabah FC dikenakan tindakan seperti didenda. Kita tak nak insiden baling-baling botol ini berulang kembali. Saya minta penyokong tolong bersabar kerana ini adalah adat pertandingan," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, dalam satu video tular di media sosial menunjukkan perlawanan antara Sabah dan JDT dicemari dengan insiden balingan botol dan cemuhan.

Ini temasuk insiden seorang lelaki dipercayai penyokong pasukan Sabah FC bertindak menarik turun bendera Johor dengan kasar sehingga menimbulkan rasa kurang senang penyokong skuad JDT.

Kejayaan JDT meledak gol menerusi sepakan percuma penyerang Harimau Selatan, Fernando Forestieri turut dicemari insiden balingan botol oleh penyokong Sabah FC yang tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil memberikan sepakan percuma. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram