Somerville hormati Penang FC sebagai bekas majikan


  • Podium
  • Sabtu, 16 Jul 2022

Selangor FC bakal menentang Penang FC pada Sabtu. — MFL

KEMAMPUAN Penang FC yang hadir dengan semangat baharu di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan tidak dipandang rendah oleh penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville.

Beliau yang juga bekas penjaga gol Penang selama dua musim mengakui, kedudukan di dasar liga bukanlah mencerminkan kekuatan sebenar lawan yang belum pernah tewas dalam dua perlawanan terakhir.

Malah, kemampuan Penang menewaskan salah satu pasukan pilihan, Terengganu FC, 2-1 pada 22 Jun lalu menjadi bukti Selangor harus berwaspada, apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Selangor pada Sabtu.

"Saya rasa apabila sesuatu pasukan mendapat jurulatih baharu, itu umpama permulaan semula buat semua pemain.

"Pemain-pemain pasti akan cuba tingkatkan lagi kemampuan mereka dan lebih positif dalam usaha memikat jurulatih bagi disenaraikan dalam kesebelasan utama.

"Jadi, Selangor tidak boleh ambil ringan terhadap cabaran Penang yang mungkin boleh kejutkan kami jika gagal bermain dengan baik," katanya seperti dilapor MFL.

Buat masa ini, Selangor berada di tangga ketujuh menerusi pungutan 12 mata, manakala Penang di tangga terakhir, memungut 7 mata.

Selangor berada dalam momentum terbaik selepas berjaya menyingkirkan seteru utama Lembah Klang, Kuala Lumpur (KL) City FC melalui kemenangan 1-0 pada pusingan kedua Piala FA.

Somerville mula menjadi pilihan utama di gawang Selangor dalam tiga perlawanan terakhir dan dia beraksi dengan cemerlang ketika berdepan KL City.

Menurut Somerville, dia semakin bersemangat selepas mula diturunkan dan berharap mampu terus menjadi pilihan utama di gawang Selangor.

"Perasaan saya sekarang amat teruja dan positif, sangat menggembirakan kerana akhirnya saya mendapat peluang bermain dalam kesebelasan utama.

"Saya kena sentiasa bersabar bagi menunggu peluang bagi meraih tempat selaku penjaga gol utama.

"Sekarang visi saya ialah mahu mengekalkan prestasi dan terus bekerja keras dalam tiap sesi latihan agar dapat kekalkan tempat.

"Sasaran masa depan ialah mahu dipanggil semula dalam skuad kebangsaan dan saya sedar kena bermain selalu,jadi ini fokus utama buat masa ini sambil mengharap peluang masih ada buat saya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram