Dah beli tiket satu keluarga ke Sabah, penyokong Penang kesal MFL ubah jadual


  • Podium
  • Jumaat, 08 Jul 2022

Penang FC bakal menentang Terengganu FC pada 9 September ini. — Facebook/Penang FC

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk meminda perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2022 atas beberapa faktor, berkemungkinan besar akan memberi kesan kepada segelintir pihak.

Pindaan itu dibuat selepas melakukan penelitian dan pertimbangan berdasarkan penyertaan kelab Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), selain penglibatan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam kancah Piala AFC.

Selain itu, perubahan itu turut melibatkan perancangan pasukan kebangsaan untuk mengadakan latihan pusat serta tempoh ‘FIFA Days’ pada September depan, sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Piala AFF pada Disember 2022 dan juga Piala Asia 2023.

290698137_2329327837230502_8740491817286216920_n

Penyertaan JDT dalam Liga ACL antara faktor MFL meminda perlawanan dalam Liga M. — Facebook/JDT

Malah, berdasarkan undian yang telah dilaksanakan pada 4 Julai 2022, semua kelab yang layak ke peringkat Suku Akhir Piala FA 2022 dijadualkan bermain pada 23 Julai 2022 nanti.

Meskipun keputusan itu tidak dilakukan pada saat akhir, ia sememangnya memberi kesan kepada para penyokong yang telah membuat tempahan tiket awal.

Perkara itu terjadi kepada salah seorang penyokong Penang FC, ketika menyaksikan perlawanan Penang FC menentang Sabah FC dalam Liga Super pada 10 September ini.

Berdasarkan pindaan, tarikh itu sebaliknya menyaksikan perlawanan antara Sabah FC menentang Selangor FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Kesal dengan perkara itu, Mohd Azhar Nordin menerusi hantaran di laman Facebook menganggap kunjungannya bersama keluarga ke negeri di Bawah Bayu itu hanya sekadar sebuah percutian.

"Saya sendiri dah booking (tempah) semua satu keluarga untuk game (perlawanan) Sabah menentang Penang pada 10 September.

"Kalau pindaan terus semua tanpa ada game (perlawanan) minggu tersebut tak la terasa sangat," katanya kesal.

288999096_449830263636446_414957813184189598_n

Penang FC sepatutnya menentang Sabah FC menurut jadual asal. — Facebook/Penang FC

Menerusi hantaran terbaharu, Mohd Azhar berkata, dia terpaksa akur dengan keputusan tersebut meskipun menganggap MFL tidak profesional dalam mengurus jadual pertandingan.

Tambahnya, Penang FC juga dijadual menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kuala Nerus, Terengganu pada 9 September.

"Nak anggap pi bercuti pun terlepas pula nanti away (tempat lawan) menentang Terengganu. Jasad di Sabah team, main away di Terengganu.

"Penang Football Club tak boleh ka minta rujuk balik kat MFL? Depa ingat Penang takda fans (penyokong) ka?

"Sebenarnya fans kita dah pun beli tiket dan apply (mohon) cuti untuk game lawan Sabah," dakwanya.

Majoriti cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada Mohd Azhar, namun masih belum ada sebarang respons.

Perlawanan pada 10 September turut menyaksikan Sri Pahang FC menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Pada tarikh sama, Melaka United FC juga dijadual menentang KDA FC di Stadium Hang Jebat, Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram