Bukan masa tunjuk lagak, Syafiq mahu cipta detik berharga bersama TRW


  • Podium
  • Khamis, 07 Jul 2022

Syafiq juga tidak nafikan pengalamannya di peringkat Liga Super sedikit sebanyak boleh digunakan untuk membantu TRW.

ANAK jati Kelantan FC, Mohamad Shafiq Al-Hafiz Dawawi yang diikat oleh pasukan The Red Warrior (TRW) dalam jendela perpindahan kedua musim ini mempunyai misi besar bersama skuad itu.

Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu berjanji untuk berikan yang terbaik buat Kelantan FC dan berazam untuk membantu skuad itu memenangi kejuaraan.

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh kelab, jurulatih, rakan sepasukan dan semua peminat.

"Setiap perlawanan misi wajib menang. Sasaran tertinggi adalah untuk memenangi kejuaraan dan saya akan memastikan impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Kehadirannya dalam TRW Kelantan FC merupakan detik berharga buatnya selepas bermain selama bertahun-tahun bersama pelbagai kelab bola sepak di Malaysia.

Sebelum berhijrah ke Kelantan FC, pemain berusia 25 tahun itu mempunyai pengalaman empat tahun dalam saingan Liga Super bersama UiTM FC dan Penang FC pada 2022.

Meskipun hanya berstatus sebagai pinjaman dari Penang FC, namun pemain tengah itu berjanji akan berusah membantu di bahagian serangan dan lebih kuat di bahagian pertahanan.

TRW

Pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman (tengah) bersama dua pemain import dan tempatan dalam majlis tandatangan pemain baru. — TRW Kelantan FC

Baginya, pengalamannya di Liga Super sebelum ini bukan tiket untuk dia menunjuk lagak kerana bagi Shafiq, Liga Perdana semakin kompetitif berbanding sebelum ini.

Dalam wawancara bersama media rasmi kelab itu, Syafiq juga tidak nafikan pengalamannya di peringkat Liga Super sedikit sebanyak boleh digunakan untuk membantu TRW.

“Pada pendapat saya, Liga Perdana lebih kompetitif berbanding sebelum ini. Ramai bakat muda akan menyinar dalam liga. Liga ini adalah platform terbaik untuk merangkul bakat mereka.

"Kami sebagai satu pasukan menyedari cabaran ini dan kami lebih bersedia untuk memberikan yang terbaik dan merebut peluang untuk memenangi kejuaraan,” jelas Shafiq.

Syafiq turut merakamkan tanda terima kasih kepada pengurusan TRW kerana menerima kehadirannya dalam skuad itu dan akhirnya berjaya menabur bakti bersama tanah kelahirannya.

Selain Syafiq, pemain Kenta Hara dan Felipe Hereda Dos Santos menjadi pilihan Kelantan FC melengkapkan kuota pemain import dalam jendela perpindahan kedua musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram