KL City aksi penentu masa depan 'DNA' Jerman?


Feichtenbeiner menyertai Selangor pada penghujung 2019, namun hanya mengemudi pasukan tersebut musim ini. — FACEBOOK

KEKALAHAN 0-2 pasukan Selangor di tangan Melaka United pada Selasa lalu telah membuatkan peminat sukan tanah air muak dengan alasan demi alasan yang diberi pengurusan pasukan tersebut.

Bahkan, kumpulan penyokong Selangor, UltraSel sempat meluahkan kekecewaan mereka dengan 'menghadiahkan' satu laungan sorakan berbentuk 'penghinaan' kepada pemain Selangor sejurus tamat perlawanan tersebut.

Laungan yang berisi lirik mempertikaikan prestasi pasukan Selangor membuktikan betapa parahnya prestasi pasukan yang suatu ketika dahulu pernah menggenggam sebanyak 33 Piala Malaysia sebelum ini.

Lebih menarik, terdapat khabar angin yang mendakwa satu mesyuarat tergempar pada peringkat pengurusan turut berlaku pada malam yang sama.

Menurut ciapan seorang warganet, Ismael Wong pada Rabu, menyatakan bahawa pihak pengurusan akan menjadikan malam pertemuan bersama KL City dalam aksi Piala FA pada Jumaat sebagai pertaruhan yang akan menentukan nasib jurulatih pasukan Selangor, Michael Feichtenbeiner.

Rata-rata penyokong bersetuju sekiranya pengurusan pasukan Selangor menukar jurulatih yang dikatakan tidak menyumbang sebarang faedah kepada pasukan tersebut.

"Malam ini kalah standby la coach. Mari ramai-ramai penyokong turun stadium berjemaah. hadap la kau ye dengan penyokong. Kalau maki jangan marah. Harap-harap menanglah lawan Kuala Lumpur," kata Saiful Ridzuan.

Seorang lagi warganet, Ishak Abdul Rani berkata, "Pengurusan pun perlu ditukar. Rombak semua tu. Bukan setakat jurulatih. Andai menang sekali pun. Pastu ugut coach next game, kalah tukar. Lepas tu, ulang benda sama. Lepas tu tukar jurulatih pun, berlaku benda yang sama. Apapun, goodluck Selangor."

Bagaimanapun, terdapat segelintir penyokong yang sangsi dengan khabar angin tersebut dan yakin Feichtenbeiner akan kekal bersama dengan pasukan Selangor.

"Hahaha. Out juga malam ini. Bagi lagi 'peluang terakhir' untuk Fechtenbeiner buktikan. Buat friendly dengan budak sekolah rendah, menang, ok sambung lagi kontrak Fechtenbeiner untuk 57 tahun," perli PattReez J. Halim

"Atas kertas Selangor boleh menang mudah.. tapi kalau kalah letak kepala atas bantal, tidur," kata Jujo.

Sebagai rekod, Feichtenbeiner menyertai Selangor pada penghujung 2019 sebagai Pengarah Teknikal dan dilantik mengemudi pasukan bermula musim ini.

Selepas berdepan KL City, Selangor akan melayan kunjungan Penang FC dalam aksi Liga Super pada 16 Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram