Hassan Sazali dedah 2 elemen skuad B-19 negara muncul juara


  • Podium
  • Sabtu, 16 Jul 2022

Skuad B-19 negara meraikan kejuaraan selepas menundukkan Laos 2-0 pada final AFF B-19 pada Jumaat. — Facebook/FAM

KERJASAMA dan disiplin merupakan dua elemen penting yang dimainkan dengan baik dalam perancangan untuk memastikan Malaysia menjuarai Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Indonesia.

Ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Hassan Sazali Mohd Waras berkata, dua elemen tersebut membawa kepada kejayaan pasukan muda negara yang menjinakkan Laos 2-0 pada final di Stadium Patriot Candrabhaga di Bekasi, pada Jumaat.

Beliau yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee pada 2016 hingga 2017 berkata, kejayaan itu bukan untuk dirinya tetapi barisan pemain dan seluruh rakyat Malaysia.

"Tahniah kepada barisan pemain saya, barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan, apa yang kita berikan ini adalah (hasil) kerjasama antara pemain, jurulatih dan pengurusan.

"Senjata kita pada malam ini (malam tadi) saya boleh katakan adalah disiplin pemain, semasa dalam permainan mereka ikut apa yang dirancang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Kejohanan B-19 AFF, pada Jumaat.

Pada perlawanan akhir itu, dua gol masing-masing dijaringkan pemain pertahanan, Muhammad Faiz Amer Runnizar pada minit ke-14 dan pemain tengah, Muhammad Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-76, memastikan Malaysia meraih gelaran kedua dalam tempoh empat tahun selepas buat julung kali muncul juara pada 2018.

Pada edisi 2018 yang turut berlangsung di Indonesia, skuad B-19 kebangsaan ketika itu dibimbing pengendali Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak.

Dalam pada itu, Hassan Sazali berkata, Kejohanan B-19 AFF adalah pertandingan ‘pemanas badan’ untuk mempersiapkan anak buahnya bagi menghadapi cabaran lebih getir pada pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023, yang dijadual berlangsung di Mongolia, September ini.

"Jadi mungkin dengan kejayaan ini boleh dijadikan sebagai satu moral dan persiapan lebih rapi bagi pasukan Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam peringkat Asia," katanya.

Pada pusingan kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara terbanyak sebanyak 12 kali iaitu Korea Selatan, selain Sri Lanka dan pasukan tuan rumah untuk merebut slot 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik ke pusingan akhir yang dijadual pada Mac tahun hadapan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram