Skrip berulang, gol saat akhir JDT kecewakan seluruh Sabah


  • Podium
  • Jumaat, 15 Jul 2022

JDT berjaya membawa pulang tiga mata apabila menewaskan Sabah FC 2-1 dalam aksi Liga Super malam tadi. — Facebook/JST

IMPIAN Sabah FC untuk sekurang-kurangnya melakar keputusan seri, tidak kesampaian apabila ditewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Menerusi perlawanan tersebut, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mula memecah gawang JDT menerusi jaringan oleh Park Tae-su pada minit ke 19.

Namun, keputusan itu tidak kekal lama selepas Fernando Forestieri menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 26.

Impian skuad Sang Badak untuk sekurang-sekurangnya mendapatkan seri dalam perlawanan tersebut berkecai selepas Forestieri menyumbatkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada saat-saat akhir masa kecederaan.

Kemenangan ibarat 'cencaru makan petang' itu juga bagaikan mengulangi skrip yang sama buat JDT ketika menewaskan Negeri Sembilan FC 1-0 pada 11 Mei lepas, juga menerusi jaringan Forestieri pada saat-saat akhir masa tambahan.

Kemenangan JDT menyaksikan kelab Harimau Selatan itu kini mengumpul 26 mata, empat mata di depan Sabah di tangga kedua liga yang beraksi lebih satu perlawanan.

293757242_2339699356193350_8397339021578009985_n

Sebahagian daripada aksi JDT menentang Sabah FC. — Facebook/Johor Southern Tigers

Serangan Sabah tumpul

Menerusi perlawanan pada Jumaat, bahagian serangan skuad Sabah FC nampaknya begitu tumpul dan hanya sesekali bahagian pertahanan JDT diasak.

Sabah FC banyak menyerang pada minit awal permainan sehinggalah Tae-su berjaya menjaringkan gol.

Namun selepas itu, Sabah FC mula goyah dan JDT terus berjaya meneruskan penguasaan sehingga berjaya mendapatkan gol penyamaan.

Seorang penyokong Sabah FC, Dims Bin Din Dimstry berkata, penyerang utama Sabah FC tenggelam permainannya dan tidak ada ancaman kepada pertahanan JDT.

Syafiq Ahmad tak menyinar

Ketiadaan Bergson dalam perlawanan kali ini memberi peluang kepada Syafiq Ahmad untuk beraksi menggantikan tempat pemain itu.

Namun, Syafiq dilihat tidak begitu menyinar dan terdapat beberapa peluang yang dimiliknya gagal disempurnakan.

Syafiq juga dilihat masih belum mendapat persefahaman yang baik antara sesama rakan pasukannya.

"JDT tak pandai suap Syafiq ke? Kesian dia, role dia kena sama macam di Harimau Malaya. Baru lebih sesuai," kata Abu Umar.

293048952_2339758656187420_5803833159272550359_n

Pemain Sabah FC mengasak pemain JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers

Insiden tegang perlawanan

Perlawanan antara Sabah FC dan JDT juga dilihat begitu tegang sehingga hampir berlaku pergaduhan pada minit akhir perlawanan.

Tidak dinafikan, Sabah FC bermain dengan cukup agresif dengan beberapa terjahan keras dibuat ke atas pemain JDT.

Malah, sepakan percuma yang dimiliki JDT pada minit akhir perlawanan juga dilihat berpunca daripada terjahan kasar pemain Sabah FC, Badrul Affendy ke atas Leandro Velázquez.

Penyerang Sabah FC, Jose Embalo kemudian cuba campur tangan hingga hampir mewujudkan pergaduhan dalam kalangan pemain.

Jika dilihat statisik perlawanan juga, Sabah FC melakukan 23 fouls berbanding 14 kesalahan oleh JDT.

292988056_2339699126193373_3687619578890742729_n

Fernando Forestieri (kiri) meraikan jaringan kemenangan JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers

Sistem pengadilan dipertikai

Selain corak permainan keras yang dipamerkan Sabah FC, satu lagi yang menjadi perbualan adalah berkenaan dengan mutu pengadilan pada perlawanan tersebut.

Penyokong JDT beranggapan bahawa pengadil tidak cukup tegas kerana banyak asakan keras yang dilakukan pemain Sabah FC tidak dilayangkan kad.

Namun, kebanyakan penyokong Sabah FC pula berasa tidak puas hati dengan pengadil terutamanya di minit akhir perlawanan.

Malah, pengadil perlawanan juga terpaksa diiring keluar daripada padang selepas keadaan dilihat menjadi tegang disebabkan keputusannya.

Namun, seorang penyokong Sabah FC, Bigger Shows menyatakan yang keputusan pengadil sebenarnya sudah cukup baik.

"Ada setengah sahaja keputusan pengadil yang boleh dipertikai. Sebab kalau betul pengadil berat sebelah, dari awal perlawanan lagi Saddil (Ramdani) boleh kena kad merah.

"Pemain Sabah FC pula membuat kesilapan betul-betul di depan kotak penalti pada minit akhir," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram