PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila tumpas 1-2 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super penuh kontroversi di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat, lapor portal La Bola Malaya.
"Mengecewakan untuk tewas minit akhir, sukar untuk menerima (hakikat) dibolosi pada minit akhir.
"Kita tahu JDT bermain seperti mana biasa mereka bermain, tetapi kita berjaya kekang asakan mereka sebelum sepakan percuma itu menjadi pemisah. Sangat mengecewakan untuk tewas seperti ini," katanya selepas tamat perlawanan.
Biarpun The Rhinos mendahului 1-0 hasil jaringan Par Tae-su pada minit ke-19, namun penyerang import JDT, Fernando Forestieri berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26 sebelum sepakan percumanya pada masa kecederaan memastikan skuad Harimau Selatan membawa pulang tiga mata berharga sekali gus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super dengan 26 mata.
Dalam pertemuan dramatik itu, pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih memberikan sepakan percuma kepada JDT di luar kotak penalti Sabah pada minit ke-94.
Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati pemain Sabah hingga menimbulkan ketegangan apabila penyerang import Sang Badak, Jose Embalo bertindak di luar kawalan terhadap pemain JDT.
Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah dua kedudukan teratas Liga Super apabila menyaksikan JDT terus unggul selaku pendahulu dengan 26 mata setelah mengharungi 10 perlawanan, empat mata di depan Sabah FC yang beraksi lebih satu perlawanan di tangga kedua.
Dalam pada itu, Kim Swee enggan mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan memberikan sepakan percuma kontroversi terbabit, lapor BH Online.
Kim Swee berkata, semua insiden yang menyebabkan perlanggaran pemain kedua-dua pasukan perlu dilihat sebelum keputusan memberikan sepakan percuma dibuat.
"Berkenaan sepakan percuma, kita perlu lihat semua insiden yang berlaku sebelum itu, lihat semua situasi. Kita bukan menyalahkan sesiapa tetapi kita tahu ia adalah sebahagian daripada permainan dan kita perlu belajar bagaimana mengawal diri kita," katanya.
Berhubung pengadilan perlawanan, Kim Swee berkata, beliau mungkin didenda atau permainan ditamatkan jika memberikan komen terhadap pengadil kerana ia adalah isu yang sangat sensitif.
Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, menjaringkan gol kemenangan pada saat akhir bukan rancangan permainan yang dilakukan pasukannya, sebaliknya ia adalah usaha pemain.
Beliau turut mengakui pasukannya berdepan kesukaran menghadapi tentangan pemain Sabah yang sentiasa melawan dan bersaing dengan baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram