'Ubi, DNA, Nidzam,' 3 faktor utama untuk Selangor kembali bangkit


  • Podium
  • Khamis, 07 Jul 2022

Penyokong mahukan Nidzam Jamil mengambil alih tetapi soalnya di sini adakah beliau mampu mengangkat semula pasukan Selangor. — Facebook

SELEPAS kekalahan pasukan Selangor ke atas skuad kendalian Asri Ninggal 0-2 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka pada Selasa lalu telah menyebabkan penyokong Gergasi Merah meminta pihak pengurusan kelab supaya melakukan perubahan drastik.

Dalam perlawanan itu, dua gol tersebut dijaringkan oleh bekas pemain import Selangor, Ifedayo Olusegun yang mana merupakan penjaring terbanyak Liga Super pada musim lalu.

Tamat perlawanan tersebut, penyokong Selangor yang terus kekal berada di stadium meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi pasukan dengan nyanyian atau chanting mereka yang mempersoalkan hala tuju projek kelab itu.

Sejak berada di bawah pengurusan baharu beberapa musim lalu, pasukan Selangor dipercayai mempunyai blueprint tersendiri untuk meyakinkan penyokong mereka mampu kembali gah di dalam kancah saingan bola sepak tempatan.

Namun sehingga kini, semuanya tidak membuahkan hasil, kali terakhir Selangor bergelar juara Liga Super adalah pada 2010, iaitu 12 tahun yang lalu.

291662969_451024370362630_514974984841804043_n

Melaka United menamatkan kemarau kemenangan selepas 3 perlawanan apabila menewaskan Selangor 2-0 pada aksi Liga Super. Facebook

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, menegaskan pihak pengurusan Selangor harus berani melakukan perubahan drastik jika tidak mahu kehilangan penyokong dan beliau juga menyatakan Nidzam Jamil mungkin pilihan jangka pendek pihak pengurusan.

"Jika dilihat sebelum bermula musim ini, pasukan Selangor sering menguar-uarkan mereka boleh menjadi pencabar JDT tetapi perkara itu tidak berlaku, malah ketika ini Selangor kelihatan bergelut untuk menduduki Top 3 dalam liga.

"Jika pihak pengurusan tidak mahu melakukan perubahan, bagi saya pasukan Selangor musim ini tidak perlu bercita-cita tinggi untuk memenangi sebarang piala lebih-lebih lagi layak ke pentas Asia 2023.

"Penyokong mahukan Nidzam Jamil mengambil alih tetapi soalnya di sini adakah beliau mampu mengangkat semula pasukan Selangor dengan kualiti pemain yang ada ketika ini," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, lambakkan pemain muda yang masih tidak bersedia bermain di peringkat tertinggi liga domestik kebangsaan juga menjadi punca kemerosotan prestasi pasukan Selangor FC.

"Skuad Selangor pada musim ini terlalu banyak pemain-pemain muda yang saya lihat masih tidak layak untuk bermain bersama skuad utama Gergasi Merah.

"Mungkin itu cara penyediaan Michael Feichtenbeiner mendapatkan pemain untuk skuad utama pasukan Selangor, tetapi cara jurulatih Jerman itu terlalu mudah untuk pemain muda berpindah ke pasukan utama.

"Proses pembangunan pemain muda yang betul dan sistematik tidak berlaku di kem pasukan Selangor ketika ini, sebab itu kita lihat pemain yang turun bersama pasukan Selangor kelihatan gugup dan tiada pengalaman," ujarnya.

445203767152199WhatsAppImage

Michael dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan Selangor pada awal musim ini. Facebook

Beliau turut merasakan DNA Jerman yang dibawa oleh jurulatih negeri itu tidak berjaya membentuk permainan Selangor yang menarik, malah pasukan yang menggunakan jurulatih tempatan lebih menyerlah.

"Pasukan Selangor harus berani berubah, pihak pengurusan harus mencari seorang jurulatih luar yang faham akan budaya atau cara permainan Asia seperti jurulatih daripada negara Korea atau Jepun.

"Pihak pengurusan harus berani dan lebih memfokuskan perancangan untuk musim hadapan kerana jika kita lihat dengan prestasi pasukan Selangor kini susah untuk katakan mereka mamapu memenangi sebarang piala musim ini.

"Selangor perlu melakukan rombakan besar-besaran dari segi pasukan, pihak pengurusan, pemain dan lain-lain lagi jika mahu kembali menjadi pencabar JDT pada musim hadapan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram