KELAB gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) sekali lagi membuat kejutan buat penyokong bola sepak tempatan apabila mengumumkan pemain import terbaharu skuad itu iaitu tonggak pasukan kebangsaan Gabon, Levy Madinda.
Kemasukan pemain tengah berusia 30 tahun itu dimaklumkan menerusi satu klip video berdurasi 34 saat yang dimuat naik di pelbagai platform media sosial milik skuad Harimau Selatan pada Khamis.
Penghijrahan bintang itu ke skuad Harimau Selatan membawa banyak kelebihan buat Madinda dan pastinya memberi kebaikan kepada JDT yang memerlukan pemain hebat untuk membantu kejohanan akan datang seperti Liga Juara-juara Asia (ACL).
Berikut merupakan tiga kelebihan Madinda yang boleh dimanfaatkan JDT sebaik menyarung jersi Harimau Selatan:
1) Mengukuhkan jentera tengah
Hadapi kejohanan antarabangsa seperti ACL, JDT pasti memerlukan khidmat Madinda yang memiliki pengalaman beraksi di Eropah seperti beraksi bersama kelab Sepanyol, Celta Vigo serta kelab Greece, Asteras Tripolo selain beberapa kelab Turki seperti Umraniyespor dan Ankara Keciorengucu.
Madinda sewaktu merantai Messi. — Agensi
Bersama Celta Vigo di La Liga, Madinda pernah merantai Lionel Messi pada perlawanan menentang Barcelona dan pada musim 2012/2013 itu juga dia bemain bersama seorang lagi pemain JDT, Natxo Insa.
Kehadiran Madinda juga boleh membaiki jentera tengah JDT yang sedikit goyah berikutan tonggak utama Natxo Insa semakin berumur dan pelapis, Hong Wan tidak mempunyai pengalaman cukup untuk mengemudi posisi itu.
2) JDT pasukan sesuai bantu selesaikan masalah Maminda
Sebagaimana diketahui, Madinda sebelum ini bersama Sabah dan selama semusim dia berhasil tampil sebanyak 16 kali dalam saingan Liga Super serta merekodkan empat gol dan dua bantuan gol.
Bagaimanapun Madinda meninggalkan Sabah FC pada Julai 2021 dan difahamkan faktor utama adalah disebabkan keletihannya untuk ulang-alik Sabah ke Afrika Selatan.
Madinda meninggalkan Sabah FC pada Julai 2021. — Sabah FC
Komitmennya dengan pasukan Gabon untuk beraksi di pentas antarabangsa dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 membuatkan Sabah FC terpaksa merehatkannya dalam aksi Liga Super.
Namun, dengan fasiliti bertaraf dunia di JDT, ia boleh membantu Madinda untuk mengembalikan kecergasannya walaupun akan mengalami keletihan setelah berkhidmat bersama pasukan negaranya.
3) Mudah berinteraksi
Skuad Harimau Selatan yang dibarisi ramai pemain import dan kakitangan yang boleh berbahasa Sepanyol membawa kelebihan buat Madinda untuk berinteraksi menggunakan bahasa itu.
Bukan Madinda sahaja import terbaharu yang boleh bercakap Sepanyol, malah pemain pertahanan terbaharu, Jordi Amat juga boleh bertutur bahasa itu.
Untuk rekod, selain Madinda, Junior Eldstal juga diumumkan kembali menyertai pasukan Harimau Selatan bagi memperkuatkan pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram