
INSIDEN kecoh pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Muhammad Faisal Halim 'menganjing' penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa nampaknya semakin hangat diperkatakan.
Dalam aksi Liga Super pada Ahad, insiden penalti antara Faisal dan Samassa mencuri tumpuan penyokong, selepas Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey mengajuk kembali tindakan penjaga gol import itu yang gagal menyelamatkan sepakan penalti berkenaan.
Situasi itu membangkitkan kemarahan Samassa yang bertindak mengejar pemain skuad kebangsaan itu, namun sempat ditahan oleh beberapa pemain TFC dan pengadil perlawanan.
Sebelum itu, Samassa berjaya menyelamatkan sepakan penalti Faisal tetapi pengadil garisan mendapati penjaga gol kebangsaan Mali itu keluar dari posisinya lebih awal, sehingga memaksa sepakan penalti diambil semula.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu itu menyaksikan TFC, sebagai tuan rumah mengutip tiga mata berharga apabila menang 2-1.
Disebabkan itu, ada segelintir peminat mahu kemenangan TFC dibatalkan gara-gara kurang semangat kesukanan yang dipamerkan Faisal dalam perlawanan itu.
Stuart berpendapat, tindakan pengadil melayangkan kad kuning terhadap Faisal sudah pun mencukupi. — Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, sebarang tindakan disiplin sama ada ke atas pemain atau pasukan terbabit adalah bergantung kepada bidang kuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Katanya, MFL pula berpendapat bahawa tindakan pengadil yang melayangkan kad kuning terhadap Faisal sudah mencukupi.
"Apa yang berlaku kita telah lihat dan tindakan telah diambil oleh pengadil. Itu yang boleh saya katakan pada masa ini," katanya kepada Majoriti.
Kamarudin berkata, tindakan membuat provokasi ke atas pemain lain merupakan kesalahan tatatertib. —Utusan
Sebagai pengendali Liga Malaysia (Liga M), beliau juga enggan membuat sebarang komen peribadi mengenai seseorang atau pasukan.
Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah menyifatkan tindakan membuat provokasi termasuk mengejek dan meludah pemain lain, sememangnya satu kesalahan dari segi tatatertib.
"Pastinya suatu kesalahan dan boleh dibicarakan di dalam Lembaga Disiplin FAM," katanya ringkas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram